top of page

Janganlah Bimbangkan Apa Pun

  • 1 day ago
  • 2 min read

Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Filipi 4:6 AVB

 

Setelah Rasul Paulus menggesa semua saudara saudari dalam Kristus di Filipi untuk membiarkan sikap mereka yang lemah lembut diketahui semua orang, dia menasihati mereka supaya tidak khuatir atau bimbang akan apa-apa pun. Sebaliknya, mereka harus memberitahukan setiap keperluan kepada Allah dalam doa dan permohonan. Sewaktu mereka berdoa kepada Allah, mereka perlu ingat untuk mengucapkan kesyukuran kepada-Nya.

 

Di sini Paulus tidaklah bermaksud bahawa saudara saudari dalam Kristus berpeluk tubuh atau bersikap acuh tak acuh terhadap hidup sehari-hari. Akan tetapi, mereka tidak sepatutnya membiarkan keadaan yang di luar kawalan mereka melumpuhkan iman mereka. Tegasnya, Paulus mendorong mereka untuk menggantikan kebimbangan dan kekhuatiran mereka dengan doa kepada Allah.

 

Sesungguhnya, tiada keperluan atau masalah yang terlalu besar atau kecil bagi Allah. Mereka hendaklah berkongsi segala hal dan semua aspek hidup harian mereka dengan Allah. Dengan tulus hati di hadirat Allah mereka boleh berdoa kepada-Nya dan memberitahu Allah tentang segala keperluan mereka serta mengajukan segala permintaan mereka kepada-Nya. Bahkan mereka boleh meluahkan perasaan mereka kepada-Nya.

 

Kesyukuran amat penting untuk mengatasi kebimbangan atau kekhuatiran. Apabila kita bersyukur kepada Allah sambil memanjatkan permohonan kita, kita sebenarnya mengalihkan fokus kita daripada masalah kita kepada Allah Yang Maha Besar. Kita mengaku bahawa Allah berkuasa dan boleh membantu kita sekarang sebagaimana Dia telah melakukannya pada masa lalu.

 

Setiap orang pasti ada kebimbangan, namun apa yang penting ialah bagaimana seseorang itu menangani kebimbangan tersebut. Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus, kita harus menangani kebimbangan kita dengan menaikkan doa kepada Allah. Yakinlah bahawa Bapa kita yang di syurga mengetahui apa yang kita perlukan. Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepada kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku agar tidak bimbang akan apa-apa pun. Dalam segala hal, ingatkan aku untuk berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page