top of page

Janganlah Khuatir


Selagi kita hidup di dalam dunia ini, kita sememangnya tidak akan terlepas lari dari pencobaan dan permasalahan hidup. Ini kerana dunia ini tidak sempurna, penuh dengan dosa dan dikuasai oleh kuasa-kuasa kegelapan. Sebagai umat Tuhan, kita tahu bahawa walaupun kita berada di dunia ini namun kita bukanlah berasal dari dunia ini (Yoh 15:19; 17:16). Kita berasal daripada Tuhan, menjadi miliknya Tuhan, dan akan kembali kepada Tuhan.


Menjadi umat Tuhan yang hidup di dalam dunia yang tidak sempurna ini tidaklah mudah. Kita seolah-olah hidup sebagai domba yang dikelilingi serigala-serigala buas, yang menanti-nantikan saatnya untuk menerkam kita.


Persekitaran-persekitaran yang kelam dan zalim terkadang membuatkan kita hanyut dengan permasalahan yang menimpa kita. Kita leka bahkan terlupa siapa sebenarnya jati diri kita, dari mana kita berasal dan milik siapa kita ini. Dan di dalam kelekaan kita, kita membiarkan musuh-musuh kita menguasai kita sedikit demi sedikit. Dengan membiarkan diri kita dipengaruhi dengan keadaan sekeliling, dengan mengaburi pandangan kita, malah menyebabkan kita ragu akan ketersediaan Tuhan bagi kita. Dan kerana itu kita mulai bimbang, kuatir serta gusar terhadap apa yang terjadi dalam kehidupan kita.


Tuhan Yesus berkata, “Karena itu Aku berkata kepadamu: Janganlah kuatir akan hidupmu, akan apa yang hendak kamu makan atau minum, dan janganlah kuatir pula akan tubuhmu, akan apa yang hendak kamu pakai. Bukankah hidup itu lebih penting dari pada makanan dan tubuh itu lebih penting dari pada pakaian? … Akan tetapi Bapamu yang di sorga tahu, bahwa kamu memerlukan semuanya itu.” (Mat 6:25-34).


Di sini Tuhan Yesus menyentuh hal-hal yang paling mendasar dalam kehidupan kita. Makanan, minuman dan pakaian adalah perkara asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Namun lebih daripada hal-hal asas ini adalah hidup itu sendiri yang lebih penting. Cuba kita fikirkan, bukankah makanan, minuman serta pakaian itu walaupun adalah hal asas namun ianya hanya bersifat sementara? Bahkan masalah-masalah lain juga bersifat sementara? Contohnya, masalah yang kita alami 10 tahun lalu, sekarang sudah berlalu bahkan kita mungkin langsung tidak mengingatinya lagi pada hari ini. Tetapi hidup itu kekal. Ianya lebih penting. Bagaimana kita menghidupi hidup itu adalah sangat penting di mata Tuhan. Apakah kita hidup dengan kesedaran yang penuh tentang siapakah Tuhan dan siapakah kita di mata Tuhan? Atau apakah hidup yang kita jalani ini telah dikaburi oleh tipu daya musuh sehingga menyebabkan kita kehilangan keyakinan terhadap kasih setia Tuhan?. Apakah kita benar-benar mempercayai Tuhan?


Sebagai umat Tuhan kita semua tahu bahawa Tuhan itu berkuasa, agung dan berdaulat. Setia dalam janji-janji-Nya, mengasihi kita dan sentiasa menyertai kita. Dia tahu akan setiap pergumulan hidup kita. Dia juga tahu akan setiap keperluan kita. Bahkah Dia mampu serta sanggup menyediakannya bagi kita. Namun apabila kita menghadapi situasi yang terdesak, kita bimbang? Walaupun sudah berdoa namun tetap kuatir dan gusar? Jangan-jangan di dalam kekuatiran dan kegusaran kita, tanpa di sedari kita telah menghina Tuhan yang kita sembah! Bagi saya, kebimbangan dan kekuatiran adalah suatu sifat yang menghina Tuhan secara peribadi, kerana ia menyerang siapakah Tuhan yang sebenarnya. Kekuatiran adalah bahasa yang mengatakan bahawa Tuhan tidak boleh dipercayai. Jika kita berkata Tuhan berkuasa, Dia maha tahu, mampu serta sanggup untuk melakukan segala sesuatu, Dia adalah Bapa kita yang sangat mengasihi kita, peduli dan murah hati namun kita masih kuatir, bukankah itu bererti kita mengatakan kepada Tuhan bahawa Dia tidak boleh dipercayai, janji-janjiNya tidak boleh dipegang, tidak mampu untuk melindungi, memelihara dan menjaga hidup kita dengan sempurna?


Janganlah kita menghina Tuhan yang kita sembah dengan ketidakpercayaan kita. Sikap ketidakpercayaan akan mengheret kita kepada ketidaktaatan yang mana boleh mengundang kemurkaan Tuhan dalam hidup kita. Setiap kali apabila kita dilanda pencobaan dan permasalahan hidup, dan apabila akar-akar kekuatiran cuba untuk menyelusup masuk ke dalam hidup kita, ingatkanlah diri kita supaya jangan kita kuatir, kerana kekuatiran menghina kemampuan kuasa Tuhan. Katakan kepada musuh kita dan juga kepada diri kita sendiri sekuat yang mungkin bahawa aku percaya kepada Tuhanku yang berkuasa yang mampu dan sanggup untuk memeliharaku dan menyelesaikan segala permasalahanku dengan sempurna, kerana aku adalah anak yang sangat dikasihiNya. Hormatilah Tuhan yang telah memberikan kita kasih karunia-Nya dan hidup yang kekal.


“Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan” (2 Kor 5:7).


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.


Amen.

Sue

bottom of page