top of page

Krismas Adalah Tentang Yesus Kristus


Lukas 1:28-38 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!”

Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.”

Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?”

Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah. Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.”

Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya.


Membaca kisah malaikat Gabriel memberikan khabar kelahiran Yesus Kristus kepada Maria merupakan perkara yang menakjubkan. Ada banyak yang boleh dipelajari daripada cerita yang terkandung dalam Injil Lukas. Tetapi ini 3 perkara yang saya korek dari petikan itu:


1. Ada orang bertanya, “Kenapa ahli-ahli majus bersungguh-sungguh datang melawat dan menyembah Yesus masa dia kecil?” Jawapan ringkas ialah Peribadi yang ajaib menuntut kelahiran yang ajaib dan penyembahan yang berpatutan. Krismas tiada erti tanpa mengenali Peribadi yang ajaib ini. Ada pokok Krismas, cuti, hiasan, lampu berkelip, karoling dan perayaan tidak ada erti kalau kita tidak kenali peribadi yang lahir sebagai “Anak Allah yang Mahatinggi.” Krismas ialah tentang Yesus Kristus yang digelar sebagai Anak Allah yang Mahatinggi; bukan nabi, bukan orang alim, bukan orang pintar, melainkan Anak Allah.


2. Kerajaan bangkit, kerajaan jatuh. Berganti-ganti pemerintah dan pemimpin, di negeri, di negara dan di dunia. Hari ini parti ini, esok parti itu, lusa parti yang lain, minggu depan? Kita harapkan kerajaan yang stabil, yang kekal dan pemimpin yang berwibawa. Tapi realitinya semua bertahan untuk sementara waktu sahaja dan berganti-ganti. Tetapi mesej malaikat kepada Maria ialah bahawa Anak yang akan dia lahirkan memiliki Kerajaan yang “tidak akan berkesudahan.” Betapa tenangnya dan damainya hati kita bila mengenali Yesus yang memerintah selama-lamanya. Dia bertakhta atas dunia, syurga dan seluruh alam. Tiada yang dapat menjatuhkan-Nya dari tempat-Nya. Dia memerintah, walaupun tidak kelihatan dengan mata kasar. Di sebalik tirai sejarah, Yesus yang memerintah semuanya.


3. Respons kita haruslah seperti Maria. Menerima pesanan, mendengar arahan, dia berkata, “Akulah hamba Tuhan, jadilah padaku menurut perkataanmu itu.” Alangkah baiknya kalau pada musim Krismas ini, kita akur kepada apa yang Tuhan Allah pesankan kepada kita. Jangan melenting, jangan memberontak, jangan melawan, jangan membantah. Terimalah teguran, terimalah arahan, terimalah berkat, terimalah janji Allah; jangan ragui, dan jangan persoalkan. Kata sahaja “Kami adalah hamba-hamba yang tidak berguna; kami hanya melakukan apa yang kami harus lakukan.” (Lukas 17:10)


Namanya Yesus, Anak Allah yang Mahatinggi! Sembahlah Dia yang memerintah selamanya dan taat pada-Nya.


Sumber : Pr Edmund Kumar

bottom of page