top of page

Janganlah Menghina Roh Kudus

ree

“Sesiapa yang  menentang Anak Manusia dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni.” Lukas 12:10 AVB

 

Selepas Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya tentang pentingnya mengakui-Nya di hadapan umum, Dia berkata kepada mereka bahawa sesiapa yang menentang Anak Manusia (Yesus) dengan kata-katanya dapat diampuni, namun sesiapa yang mengatakan hal-hal  jahat untuk melawan atau menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni.

 

Hal ini merupakan peringatan keras Yesus kepada murid-murid-Nya tentang perbuatan golongan yang menyesatkan orang lain daripada kebenaran yang sebenar. Mereka tidak ada bezanya daripada mengkufuri Roh Kudus. Oleh itu, hukuman yang sangat berat akan menimpa diri mereka kerana kemunafikan mereka yang menyesatkan orang lain daripada kebenaran.

 

Dengan kata lain, mengkufuri Roh Kudus sama ertinya dengan sikap orang yang secara sengaja enggan menerima pengajaran daripada Penolong,  iaitu Roh Kebenaran yang diutus Allah untuk bersaksi tentang Yesus. Mereka dengan sengaja mendustakan kebenaran yang sebenar untuk menyesatkan orang lain sehingga orang itu menjadi serupa dengan diri mereka.

 

Hal ini disampaikan Tuhan Yesus kepada para murid-Nya supaya mereka menjadi semakin berani untuk memberitakan Injil  tanpa berasa takut. Sebab kebinasaan yang lebih menyakitkan dan lebih berat akan menimpa orang yang berhati batu dan terus-menerus menolak pemberitaan Injil selain menghina kasih kurnia serta pekerjaan Roh Kudus dalam diri mereka.

 

Oleh itu, setiap orang yang bercakap menentang Anak Manusia dapat diampuni. Sebab sewaktu Yesus dihina, diejek atau diolok, Dia berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.”  Bagaimanapun, setelah pencurahan Roh Kudus dan kesaksian  Roh Kudus tentang kemuliaan Kristus, sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak dapat diampuni.

 

Tegasnya, janganlah kita  “sekali-kali mengkufuri Roh Kudus” tetapi hendaklah kita bertaubat dan memuliakan Allah selama kita hidup.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan daripada-Mu sekiranya aku mendukakan hati-Mu melalui perkataan dan perbuatanku. Tolonglah aku untuk membuka hatiku kepada bimbingan Roh Kudus sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page