top of page

Janganlah Runsing

ree

“Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing.” Lukas 12:29 AVB

 

Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya supaya tidak terlalu bimbang atau runsing memikirkan  apa yang  mahu dimakan dan diminum mereka. Yesus menasihati mereka untuk memperhatikan burung-burung di udara yang tidak meyemai atau menuai tetapi Allah memeliharanya dengan memberinya makan. Demikian juga dengan diri murid-murid Yesus. Allah pasti akan memelihara dan menjaga mereka kerana mereka lebih bernilai daripada burung-burung itu.

 

Sesungguhnya, Yesus mahu memperingatkan diri mereka supaya tidak cemas, runsing atau khuatir berlebih-lebihan tentang apa yang akan dimakan dan diminum mereka. Sebab perasaan cemas, bimbang atau khuatir yang keterlaluan akan mendatangkan mudarat dan melumpuhkan hidup  rohani  mereka.

 

Dengan itu, mereka perlu mengelakkan diri daripada dibelenggu oleh kerunsingan dan kekhuatiran. Sebaliknya, mereka akan datang kepada Allah untuk memohon supaya semua keperluan mereka akan dipenuhi. Di samping itu, mereka harus mengawal diri mereka daripada sikap mengejar kebendaan atau hal-hal duniawi, sekalipun  kebendaan tertentu juga diperlukan mereka.

 

Sebab keutamaan diri kita mestilah berfokuskan Allah dalam segala yang kita lakukan setiap hari. Kita hendaklah mengetepikan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan kepentingan orang lain. Janganlah hidup seperti orang di dunia ini yang sibuk mengejar pelbagai kebendaan  tanpa berasa puas dengan apa yang dimiliki mereka.

 

Biarlah kita mengutamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepada kita. Matius 6:33 AVB

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hati yang sentiasa bersyukur dan berserah kepada-Mu dalam segala perkara. Ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam setiap perkara yang aku lakukan. Terima kasih atas kebaikan-Mu selama aku hidup. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comentarios


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page