top of page

Jika Setia dalam Perkara Kecil, akan Setia Juga dalam Perkara Besar

ree

“Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar.” Lukas 16:10 AVB

 

Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa sekiranya seseorang itu mampu mengurus harta yang diamanahkan kepadanya dalam jumlah yang kecil dengan baik, maka  dia pasti mampu untuk mengurus jumlah harta yang besar dengan baik juga. 

 

Hal ini bermakna bahawa kesetiaan seseorang itu dibuktikan mula-mulanya dalam perkara yang kecil. Dia seterusnya akan setia dalam perkara yang lebih besar. Demikian juga halnya dengan seseorang pengurus. Kejujurannya terbukti dalam perkara yang kecil terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak jujur dalam perkara kecil, apa lagi dalam perkara yang lebih besar.

 

Pendek kata, kejujuran dan kesetiaan seseorang akan teruji dalam perkara yang kecil terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak jujur dalam hal-hal yang kecil, bagaimanakah mungkin dia boleh dipercayai dalam perkara-perkara yang lebih besar? Hal ini merujuk kepada sikap  tanggungjawab seseorang terhadap pemberian Allah yang diamanahkan kepadanya.

 

Ingatlah, kita hanya pengurus yang diamanahkan oleh Allah. Semua yang kita miliki, seperti sumber kewangan atau harta benda, masa, peluang dan kebolehan sebenarnya diberikan oleh Allah. Kita dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengurusnya dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, kita harus sentiasa jujur dan taat setia dalam tanggungjawab mengurus pemberian Allah. Sekiranya kita taat setia dalam tanggungjawab kecil, maka Allah tentu akan mengamanahkan tanggungjawab dan harta sejati yang lebih besar lagi kepada kita.

 

Kesimpulannya, biarlah kita setia mengurus yang sedikit atau yang kecil dahulu. Maka Allah akan memberi kita kuasa untuk mengendalikan yang banyak atau yang besar kemudian.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk setia dan jujur dalam perkara-perkara  kecil ataupun besar yang diamanahkan kepadaku. Teguhlah hati  dan hidupku agar dalam semua urusanku Engkau akan dipermulia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. 


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page