top of page

Jiwa yang Hancur


Mazmur 51:17

Korban sembelihan kepada Allah ialah jiwa yang hancur; hati yang patah dan remuk tidak akan Kaupandang hina, ya Allah.


Mengapakah Allah tidak memandang hina hati yang patah dan remuk? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu bertanya bilakah atau dalam keadaan apakah hati kita patah dan remuk? Apakah penyebab kehancuran tersebut? Masalah kewangan? Putus dengan teman lelaki/perempuan? Kehilangan orang tersayang? Sememangnya semua hal tersebut boleh menyebabkan jiwa kita hancur. Walau bagaimanapun, konteks sebenar ayat di atas bukanlah berkaitan dengan semua itu. Konteks ayat di atas sebenarnya adalah dosa kerana terdapat pernyataan “korban sembelihan”.


Korban hanya wujud sekiranya ada dosa dan oleh sebab dosa memang wujud, dosa menuntut korban sembelihan (binatang) supaya hidup manusia dapat diteruskan dalam berkat dan perkenanan Allah. Inilah yang berlaku sepanjang kisah Perjanjian Lama dalam Alkitab. Dosa begitu menjadi penghalang dalam hubungan manusia dengan Allah sehingga korban demi korban dijalankan. Namun, manusia tidak memahami bahawa korban sembelihan hanyalah lambang. Korban yang sebenarnya bukanlah binatang yang hancur (disembelih) tetapi jiwa yang hancur; hati yang patah dan remuk kerana dosa. Adakah manusia bersikap demikian terhadap dosa? Kita perlu merujuk kembali kepada manusia pertama iaitu Adam dan Hawa untuk menyelidiki perkara ini.


Ternyata, selepas Adam dan Hawa jatuh dalam dosa, jiwa mereka tidak hancur, hati mereka tidak patah dan remuk. Apa yang terjadi adalah mereka semakin mempersalahkan dan menafikan dosa (Kej 3:8-13). Akibatnya, mereka diusir daripada Taman Eden dan mengalami akibat dosa. Umat manusia selanjutnya dicemari dengan akibat ini secara turun-temurun. Itulah sebabnya diperlukan manusia yang tidak dicemari oleh dosa keturunan ini iaitu Yesus Kristus. Dia datang ke dunia ini mewakili kita sebagai manusia yang tidak mempersalahkan dan menafikan dosa, bahkan menjadi dosa untuk penebusan kita (2 Kor 5:21). Jiwa-Nya bukan sahaja hancur; hati-Nya patah dan remuk, malah tubuhnya juga hancur disiksa kerana dosa melalui karya-Nya di kayu salib.


Allah tidak memandang hina hati yang patah dan remuk kerana hal ini merujuk kepada karya Yesus Kristus sendiri. Melalui Yesus Kristus, kita dijadikan baru (2 Kor 5:17) dan kita mempunyai roh dan hati yang baru (Yeh 36:26). Yesus Kristus adalah korban sembelihan kita yang mendamaikan kita dengan Allah. Hubungan kita dengan Allah tidak ada penghalang lagi; berkat dan perkenanan Allah ada dalam segala perkara yang kita lakukan. Ketika kita berasa bersalah atas dosa tertentu ataupun mengalami tuduhan serta godaan dari si jahat, isytiharkanlah bahawa Yesus Kristus adalah korban sembelihan kita; kuasa dosa akan kehilangan sengatnya! Bersyukurlah!


Pr Roy Dinsim

コメント


bottom of page