top of page

Kasih Harus Menjadi Pendorong Kita

  • 1 day ago
  • 2 min read

Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil.  Filipi 1:16 AVB

 

Rasul Paulus telah mengenal pasti dua kumpulan orang percaya yang memberitakan Injil atau Berita Baik. Satu kumpulan memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala kumpulan yang satu lagi melakukannya dengan niat baik. Dengan kata lain, kumpulan kedua melaksanakan misi mulia ini kerana mereka menyokong Paulus yang telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil.

 

Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus bahawa yang menjadi pendorong bagi mereka yang memberitakan Kristus dengan tujuan yang baik ialah kasih mereka terhadap Allah dan Paulus. Atas kasih murni mereka itu, mereka memberitakan Kristus untuk meluaskan kerajaan Allah kerana hati mereka bebas daripada segala kepentingan peribadi diri mereka.

 

Pemberitaan tentang Kristus kepada orang lain haruslah didorong oleh kasih kepada Allah. Melalui kasih kita kepada Allah, maka kita dapat memberitakan Kristus kepada orang lain dengan maksud yang baik. Sebab seluruh hati kita hanya tertumpu pada kemuliaan Allah dan bukannya ada udang di sebalik batu.

 

Sekiranya kita bertekad memberitakan Kristus dengan tujuan yang baik, kita harus lebih mengutamakan kasih kita kepada Allah daripada segala perkara yang lain. Sebab kasih kita hanya memusatkan tujuan pemberitaan kita demi keagungan Allah dan penyelamatan orang lain.

 

Akhir kata, misi memberitakan Kristus harus dilakukan dengan kasih dan bukannya dengan hasad dengki atau persaingan. Betapa pentingnya motif suci dalam pelayanan kita. Kita mesti berhati-hati supaya tidak memberitakan Kristus demi nama, kemasyhuran atau kepentingan peribadi.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, selidikilah hatiku agar semua yang aku lakukan sewaktu memberitakan Engkau kepada orang lain sesungguhnya berdasarkan kasihku kepada-Mu demi kemuliaan nama-Mu. Dalam nama-Mu yang mengatasi semua nama yang lain aku berdoa. Amin.

Comments


bottom of page