top of page

Katakan "Maaf" atas Kesalahan

ree

 “ ‘Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah.’ ” Lukas 15:18 AVB

 

Setelah anak bongsu itu menderita dalam keadaan serba kekurangan, barulah dia amat menyesal. Dia pun sedar akan kesalahannya. Lalu dia bangkit dan memutuskan dalam hatinya bahawa dia akan kembali kepada bapanya dan memohon maaf dengan berkata, “Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah.” Akhirnya, anak bongsu itu menyedari bahawa dia sesungguhnya telah berdosa kepada Allah di syurga dan bukan setakat berdosa kepada bapanya. 

 

Permohonan maaf ini merupakan jalan yang terbaik untuk memulihkan hubungan yang sudah retak antara dua pihak selama ini. Permohonan maaf yang sungguh-sungguh dan datang daripada hati yang hancur dan sesal akan memimpin seseorang yang berbuat salah untuk bertaubat dan meredakan rasa bersalahnya.

 

Oleh itu, marilah kita mengikut jejak langkah anak bongsu ini, yang setelah menyedari kesalahannya tidak malu untuk mengakui kesalahannya dan juga rela bertindak segera untuk memohon pengampunan atas kesalahannya itu. Dengan kata lain, menyesal sahaja tidak cukup kerana penyesalan tanpa tindakan yang sewajarnya tidak bermanfaat sama sekali. Selain itu, permohonan maaf tidak sekali-kali merugikan diri kita kerana pihak yang luka hati akan mengampuni kita dan berbaik semula dengan kita. 

 

Biarlah kita merendahkan diri untuk memohon maaf apabila kita melukakan perasaan atau melakukan kesalahan terhadap sesiapa pun. Sebab permohonan maaf yang berasal daripada hati yang tulus dan ikhlas, pasti akan mendatangkan pemulihan, pendamaian dan  pembaharuan antara dua pihak yang sudah renggang atau putus hubungan.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk mengatakan “maaf” sekiranya aku melakukan  kesalahan terhadap seseorang. Sucikan hatiku dan bimbinglah aku dalam semua yang aku lakukan setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page