Keagungan Mengenal Yesus Kristus
- May 28
- 2 min read

Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu Kristus, ... Filipi 3:8 AVB
Sebelum Paulus mengenal Tuhan Yesus secara peribadi, dia sangat berbangga dengan semua hal lahiriah peribadi dirinya. Dia menyangka bahawa hal-hal lahiriah peribadi dirinya itu sangat menguntungkan dirinya. Setelah Paulus hidup bersatu dengan Kristus Yesus, dia menganggap semua itu tidak ada ertinya apabila dibandingkan dengan apa yang dimilikinya kini, iaitu mengenal Kristus Yesus. Kerana Kristus, semua yang dulu dibanggakannya sekarang dianggap tidak ada nilai dan sama sahaja dengan sampah sarap. Mengenal Kristus jauh lebih bererti.
Dengan itu, Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa segala sesuatu yang lain tidak berharga apabila dibandingkan dengan keuntungan besar yang diperolehnya daripada mengenal Kristus Yesus, Tuhannya. Dia sudah mengesampingkan segala sesuatu yang lain dan menganggapnya sampah supaya dia dapat memiliki Kristus. Sebab apa yang diingininya dalam hidup hanyalah Kristus. Mengenal Kristus lebih besar nilainya atau lebih berharga daripada apa yang dimilikinya dahulu.
Mengenal Tuhan Yesus Kristus secara peribadi merupakan keuntungan yang lebih besar daripada hal-hal lahiriah yang dibanggakan pada masa lalu. Kehilangan segala yang dianggap penting pada masa lalu bukanlah kerugian kerana yang ingin dimiliki hanyalah Yesus. Paulus mengarahkan matanya kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna imannya. Dalam Kristus dia mendapat penebusan melalui darah-Nya dan pengampunan dosa menurut limpah kasih kurnia Allah.
Marilah kita meneladani Paulus untuk mengejar hal yang lebih menguntungkan hidup kita pada hari ini dan masa akan datang, iaitu mengenal Tuhan Yesus secara peribadi. Kita akan mengalami kuasa-Nya melalui perantaraan Roh Kudus setiap hari sewaktu kita berdoa, membaca firman-Nya, melibatkan diri dalam pelayanan dan sebagainya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, celikkan mataku untuk melihat perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup ini, agar aku tidak akan ketinggalan dalam perkara-perkara daripada-Mu, yang lebih bernilai. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments