top of page

Kecurangan Suami


Kecurangan boleh terjadi bila-bila masa dalam sebuah perkahwinan. Ada tiga tahap di mana kemungkinan ia akan terjadi.


Tahap yang pertama adalah pada tahun pertama, ketika percintaan digantikan oleh tanggungjawab berat sebagai seorang suami.


Tahap yang seterusnya ialah apabila di dalam kira-kira lima tahun setelah perkahwinan - apabila "kebaharuan" perkahwinan sudah menjadi pudar


Kemudian muncul tahap yang ketiga. Tahap pertengahan hidup. Suami manjadi khuatir bahawa "hidupnya sudah berakhir" atau "dia ketinggalan sesuatu yang mengujakan," dan mempunyai keperluan untuk meningkatkan egonya. Ini akan mendorong seseorang untuk mengadakan hubungan sulit.


Selalunya hubungan sulit tidak terancang. Hubungan yang tidak bersalah seperti hubungan antara wanita dan suami sahabat rapatnya, dapat berkembang menjadi hubungan sulit.


Salah satu sebab hubungan sulit berlaku ialah kerana ada hubungan yang rapat dan kerap kali berlaku.


Satu lagi sebab ialah terlalu keyakinan (overestimating) terhadap kemampuan mereka untuk menentang godaan.


Mampukah seorang lelaki berasa bahagia apabila mendapati dirinya terlibat dalam hubungan luar nikah yang sukar diputuskan? Dia pasti akan mengalami pergolakan emosi. Apa yang boleh dilakukan oleh isteri untuk membantunya kembali kepadanya?


Seorang suami mungkin mencari keselesaan dan keterujaan dalam pelukan wanita lain apabila perkahwinannya telah menjadi yang membosankan.


Apakah perceraian adalah penyelesaian yang baik dalam situasi seperti itu?


Haruskah seseorang meneruskan dengan perkahwinan itu hanya untuk kepentingan anak-anak?


Bila kita mempertimbangan kesan buruk keluarga yang berpecah-belah terhadap anak-anak, saya berpendapat bahawa segala usaha harus dilakukan untuk menyelamatkan atau menghidupkan kembali perkahwinan, demi suami dan isteri dan juga anak-anak. Kos emosionalnya terlalu tinggi bagi semua anggota keluarga apabila suatu perkahwinan terputus.


Perkataan Cina untuk kedamaian menggambarkan sebuah "bumbung dengan wanita di bawahnya." Terdapat banyak hikmah di dalamnya. Marilah kita ambil perhatian bahawa seorang wanita di bawah satu bumbung adalah kedamaian. Lebih daripada seorang wanita di bawah bumbung yang sama akan menimbulkan masalah.


Soal-jawab #1:


Soalan : Adakah anda merasakan ada semacam "kebutaan" yang boleh terjadi ketika mangsa hubungan sulit menafikan kebenaran? Saya seolah-olah mengalami ini ketika suami saya mengadakan hubungan sulit dengan sahabat terbaik saya. Hubungan sulit itu berlaku selama dua tahun sebelum saya dapat mengakuinya kepada diri sendiri. Tetapi mengapa saya menafikan kebenaran? Mengapa mangsa “memilih” untuk menjadi buta?


Jawaban : Proses psikologi itu disebut penafian, dan ini terjadi untuk melindungi minda daripada fikiran atau kenyataan yang tidak dapat diterima. Setelah seseorang mengakui kepada diri sendiri bahawa pasangan yang dikasihi telah berlaku curang, maka dia terpaksa menangani keadaan itu.


Pengalaman yang sangat menyakitkan yakni kesedihan, kegelisahan, dan insomnia tidak dapat dielakkan setelah kebenaran itu dihadapi. Tambahan pula, orang yang tercedera takut bahawa konfrontasi dengan pasangan yang curang mungkin mendorong pasangan itu kepada pelukan kekasih baru.


Memandangkan kebimbangan ini, orang itu secara sedar atau tidak sedar memilih untuk tidak perasan hubungan sulit itu dengan harapan ia akan berakhir dan dilupakan. Jelasnya, ada banyak motivasi bagi orang yang rentan untuk menafikan apa yang dilihat oleh matanya.


Apabila bukti kecurangan menjadi terlalu jelas, seorang lelaki atau wanita kadang-kadang akan "meminta" pasangan yang bersalah untuk membantu penafian tersebut. Ini dilakukan dengan membuat tuduhan dengan harapan dapat dibuktikan salah. Contohnya, seorang isteri akan bertanya, "Adakah anda dan Donna sedang berpacaran?"


"Tidak, saya telah berkata seribu kali bahawa tiada apa-apa yang berlaku," dia berbohong.


"Tetapi di mana anda sampai jam 2.00 pagi malam semalam?"


"Saya menghadapi masalah kereta. Sekarang, bolehkah anda berhenti mengganggu saya? "


Isteri ini tahu cerita suaminya itu palsu, tetapi dia terus memintanya untuk berbohong kepadanya. Dan apa yang menarik di sini, dia tidak berasa perlu untuk "meniup wisel" terhadapnya sehingga dia mengakui penglibatannya ... yang mungkin tidak akan berlaku. Perjanjian diam-diam ini membantunya mengekalkan khayalan bahawa semuanya baik-baik saja dan menyediakan persekitaran yang memungkinkan suami boleh berfoya-foya dengan wanita lain.


Penafian mempunyai banyak aplikasi dan kegunaan dalam pengalaman manusia. Ini akan memungkinkan seorang wanita untuk mengabaikan benjolan yang mencurigakan di payudaranya atau dadah di bilik tidur anaknya atau hutang keluarga yang sedang meningkat. Melalui proses ini, pikirannya dilindungi untuk sementara waktu, tetapi ini sering kali membiarkan musibah yang lebih besar berlaku dalam kehidupan kita.


Soal-jawab #2:


Soalan: Beberapa bulan yang lalu suami saya mengumumkan bahawa dia meninggalkan saya untuk wanita lain. Sejak itu, dia kerap berpacaran dengannya, tetapi dia tidak meninggalkan rumah dan kelihatan seperti kebingungan. Dia kehilangan lima belas paun dan kelihatan teruk. Apa yang anda fikir sedang berlaku di fikirannya? Dia tidak mahu bercakap dengan saya tentang perasaannya, dan dia menjadi marah ketika saya bertanya kepadanya.


Jawaban: Besar kemungkinan suami anda mengalami rasa bersalah dan konflik yang sering mengiringi perbuatan mementingkan diri dan berdosa seperti perbuatan curang. Terdapat suara kecil yang mengganggu kita pada saat-saat seperti itu, walaupun ada di antara kita yang belajar untuk menyekatnya. Walaupun kita mengabaikan kutukannya, hati nurani terus menusuk kita dan tidak akan membenarkan pelanggaran undang-undang moral tanpa pergelutan batin.


Agak biasa untuk seseorang dalam situasi ini mengalami semacam perang dalaman yang hanya dapat diselesaikan dengan salah satu daripada tiga cara:


1. Hati nurani menang dan orang itu kembali ke kehidupan yang betul.


2. Orang itu memberi alasan kepada dirinya sehingga tingkah lakunya mula kelihatan "suci" dan "tidak bersalah".


3. Hati nurani menang tetapi orang itu tetap melakukan apa yang dia mahu.


Orang dalam kategori ketiga, termasuk suami anda, boleh menjadi antara lelaki dan wanita yang paling sengsara di muka bumi ini. Tingkah laku mereka bertentangan dengan kod etika peribadi mereka, dan semua usaha untuk menyelaraskan kedua-duanya adalah sia-sia.


Dalam kata lain, individu-individu ini berada dalam situasi konflik dengan hati nurani mereka. Bukan hanya gangguan psikologi tetapi juga penyakit fizikal mungkin timbul dari ketidakharmonian seperti itu! Seseorang yang mengalami konflik dalamannya sering mengalami kemurungan, penurunan berat badan, malam tanpa tidur, menggigit kuku, dan lain-lain. Pengalaman pahit ini sangat tidak selesa bagi individu yang sensitif.


Sekiranya kami betul dalam penilaian pemikiran suami anda, anda boleh menjangkakan dia akan memberikan komitmen dengan cepat kepada anda atau kepada wanita lain. Adalah terlalu menyakitkan untuk tetap berada dalam keadaan serba salah antara yang baik dan yang jahat. Kami menasihati anda supaya mendapatkan nasihat profesional mengenai apakah ini adalah saat yang tepat untuk meminta suami anda membuat pilihan. Dengan beberapa fakta yang telah saya berikan, saya cenderung ke arah itu.


Soal-jawab #3:


Soalan : Perkahwinan saya kepada isteri saya merupakan perkara yang sangat tidak memuaskan bagi saya. Saya akan menceraikannya sekiranya bukan kerana keprihatinan saya terhadap tiga anak kami. Apa yang dinyatakan oleh kaji selidik mengenai kesan perceraian terhadap anak-anak?


Jawapan : Buat masa ini kami tahu bahawa perkembangan emosi kanak-kanak secara langsung bergantung kepada kehadiran interaksi yang mesra, bersifat memelihara yang kekal dan berterusan dengan kedua ibu bapa. Apa-apa yang mengganggu hubungan penting dengan ibu atau bapa boleh membawa kesan yang berkekalan kepada anak.


Satu kajian penting menunjukkan bahawa 90 peratus kanak-kanak dari keluarga yang berpecah mengalami perasaan kejutan yang hebat ketika perpisahan itu berlaku, termasuk kesedihan yang mendalam dan ketakutan yang tidak rasional. 50 peratus melaporkan perasaan ditolak dan ditinggalkan, dan sememangnya separuh daripada bapa tidak pernah datang berjumpa dengan anak-anak mereka tiga tahun selepas perceraian.


Sepertiga lelaki dan perempuan khuatir akan ditinggalkan oleh ibu atau bapa yang satu lagi, dan 66 peratus mengalami kerinduan terhadap ibu bapa yang tidak hadir dengan intensiti yang digambarkan oleh penyelidikan sebagai sesuatu yang amat luar biasa. Paling ketara, 37 peratus kanak-kanak lebih tidak gembira dan tidak puas hati lima tahun selepas perceraian daripada jangka masa lapan belas bulan selepas perceraian tersebut. Dengan kata lain, masa tidak menyembuhkan luka mereka.


Itulah maksud sebenar perceraian. Ini yang saya fikirkan dengan kemarahan yang beralasan kukuh, ketika saya melihat hubungan sulit dan tipu muslihat perkahwinan yang digambarkan di media sebagai semacam permainan menarik untuk dua orang.


Pokoknya, anda harus mempertimbangkan kebajikan anak-anak anda dalam memutuskan sama ada mahu bercerai atau tidak. Walaupun hubungan perkahwinanmu tidak bermakna, kemungkinan, apa yang saya akan pilih ialah untuk meneruskannya.




Artikel ini ditulis oleh Focus on the Family Malaysia dan Soalan dan Jawapan diambil dari "Panduan Rujukan Perkahwinan & Rumah Keluarga Lengkap" oleh Dr James Dobson dengan izin.

bottom of page