top of page

Keinginan Hati Paulus

  • May 30
  • 2 min read

 

Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian.  Filipi 3:10-11 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu orang percaya di Filipi bahawa satu-satunya keinginan hatinya adalah untuk mengenal Kristus Yesus secara peribadi lagi intim. Apakah maksud Paulus untuk mengenal Tuhan Yesus? Bagi Paulus, ini bermaksud bahawa dia ingin mengenal kuasa yang telah membangkitkan Yesus, turut merasai penderitaan-Nya dan menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya supaya pada akhirnya dia dapat mencapai kebangkitan daripada kematian.

 

Pertama, Paulus ingin mengalami kuasa kebangkitan Kristus. Kuasa kebangkitan Kristus itu tidaklah merujuk kepada kuasa Allah Bapa yang menghidupkan Yesus daripada kematian, tetapi kuasa daripada Kristus yang dibangkitkan dalam hidup orang percaya. Sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, orang percaya juga dibangkitkan Allah bersama Kristus supaya mereka dapat menjadi ciptaan baru, tidak diperhamba oleh dosa dan menikmati hidup baru.

 

Kedua, Paulus bersedia merasai penderitaan Kristus kerana dia tahu bahawa penderitaan yang dialaminya di dalam penjara dan selama dia memberitakan Injil sebenarnya demi kemuliaan Kristus serta kepentingan orang percaya. Setiap orang Kristian tidak dapat lari daripada mengalami pelbagai penderitaan, penganiayaan, tentangan, dan pengorbanan kerana dunia memusuhinya. Sesungguhnya, orang percaya telah dikurniakan bagi pihak Kristus, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya.

 

Ketiga, Paulus mahu menjadi seperti Kristus dalam kematian-Nya. Melalui kematian Yesus Kristus di kayu salib, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah. Demikian juga Paulus menganggap dirinya telah mati kepada dosa, seperti keangkuhan, kepentingan diri, kesenangan diri dan cita-cita tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus. Dia mahu diubah menjadi serupa dengan-Nya oleh Roh Kudus. Tegasnya, dia menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan sanggup berkorban demi Kristus.

 

Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita mengenal Kristus secara peribadi lagi intim? Bersedia dan beranikah kita meneladani Paulus untuk mengenal kuasa kebangkitan Kristus, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, supaya pada akhirnya kita dapat mencapai kebangkitan daripada kematian?

  

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan-Mu ke atas hidupku. Ajarlah aku untuk mentaati-Mu dalam setiap aspek hidupku. Tolonglah aku untuk mengenal Tuhan Yesus dan mengalami kuasa yang membangkitkan-Nya daripada kematian, turut menderita dengan-Nya, dan makin menjadi seperti Dia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page