top of page

Kerana Takut, Ikut Telunjuk Orang Ramai

  • 3 days ago
  • 2 min read

Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan. Lukas 23:24 AVB

 

Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai lalu berkata kepada mereka bahawa dia telah menyoal Yesus di hadapan mereka dan tidak mendapati Yesus bersalah atas satu pun tuduhan mereka. Pilatus menyambung bahawa Herodes pun tidak mendapati Yesus bersalah kerana Yesus dihantar kembali kepadanya. Tiada apa-apa yang dilakukan Yesus sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu, Pilatus memberitahu mereka bahawa dia akan menyebat Yesus dan membebaskan-Nya.

 

 

Pada setiap Perayaan Paskah Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka. Semua orang pun berteriak supaya Yesus dibunuh tetapi Barabas dibebaskan bagi mereka. Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.

 

 

Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi. Akan tetapi, orang ramai itu berteriak-teriak lagi untuk menyalib Yesus. Pada kali ketiga Pilatus menanyakan kesalahan Yesus dan menegaskan bahawa dia tidak mendapati Yesus bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, dia akan menyebat Yesus dan kemudian membebaskan-Nya. Malangnya, orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan tidak terkawal supaya Yesus disalib. Akhirnya, mereka berjaya. Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.

 

 

Atas desakan orang ramai supaya Yesus dijatuhi hukuman mati, maka Pilatus mengikut telunjuk mereka sahaja. Sebab Pilatus tidak berani melawan desakan orang ramai yang sangat kuat untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, walaupun Pilatus tahu bahawa Yesus tidak bersalah. Perasaan takut terhadap orang ramai, yang menyelubungi hatinya menyebabkan dia memutuskan untuk memenuhi kehendak mereka.

 

Orang ramai menuntut agar Yesus disalibkan, walaupun mereka tahu bahawa Yesus tidak melakukan apa-apa kesalahan selama ini. Namun demikian, hati mereka yang dibelenggu oleh kemarahan dan kebencian terhadap Yesus telah menyebabkan mereka bertekad membunuh Yesus. Kebencian yang sangat dalam terhadap Yesus telah menutupi mata mereka daripada melihat cahaya kebenaran yang ada pada Yesus.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Atas perasaan takut terhadap desakan orang ramai, maka kita tidak berani menegakkan kebenaran lalu membiarkan kebenaran diketepikan. Oleh itu, marilah kita memohon kekuatan daripada Allah agar kita yang mengenal kebenaran akan memiliki keberanian untuk berkata benar tentnag kebenaran Injil kepada orang lain di sekeliling kita demi memuliakan Allah.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau memberi aku hati yang bersih dan teguh untuk menghadapi setiap cabaran dalam hidup ini. Biarlah setiap keputusanku berdasarkan kebenaran dan bukan desakan orang ramai. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page