Kerana Wang Timbul Niat Jahat
- Komuniti Digital 05

- 2 days ago
- 1 min read

Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai. Lukas 22:6 AVB
Setelah Yudas Iskariot berbincang dengan para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci tentang bagaimana dia dapat menyerahkan Yesus kepada mereka, kata sepakat dicapai dengan upah sebanyak tiga puluh keping wang perak kepada Yudas. Mereka menjadi sangat gembira. Lalu Yudas pun mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai.
Yudas menanti waktu yang difikirkannya baik untuk menyerahkan Yesus kepada para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci. Rancangan jahat Yudas ini didorong oleh pemberian sebanyak tiga puluh keping wang perak.
Disebabkan wang Yudas Iskariot sanggup mengkhianati Yesus walaupun dia telah hidup bersama Yesus selama tiga tahun. Dia telah mendengar Yesus menyampaikan ajaran dengan penuh wibawa, menyaksikan Yesus melakukan mukjizat dan tanda-tanda ajaib, seperti menyembuhkan orang yang sakit, mengusir roh jahat, memberikan makanan kepada lima ribu orang dengan berbekalkan lima buku roti dan dua ekor ikan sahaja. Malangnya, Yudas masih tidak dapat mengawal dirinya daripada mengkhianati Yesus.
Dia melihat wang lebih besar daripada Yesus. Wang dan kepentingan diri telah mengabui mata serta fikiran Yudas. Kasih akan wang lebih besar daripada kasihnya kepada Allah sehingga dia tersesat daripada iman dan akhirnya diperalat untuk menjadi pengkhianat . Cinta akan wang punca segala kejahatan. Kerana wang timbullah niat jahat untuk mengkhianati Yesus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, biarlah kasihku kepada Engkau lebih besar daripada hal-hal duniawi. Berilah aku kekuatan dan keazaman untuk menolak segala tarikan dunia ini. Biarlah aku tetap taat setia kepada-Mu, ya Allah yang maha setia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments