Kerana Yesus Permusuhan Terlerai
- 14 minutes ago
- 2 min read

Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu. Lukas 23:12 AVB
Apabila Herodes bertemu dengan Yesus, dia mengemukakan banyak soalan kepada Yesus tetapi Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Yesus. Di samping itu, Herodes dan askar-askarnya menghina Yesus dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar Yesus kembali kepada Pilatus. Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.
Sebelum pertemuan Pilatus dan Herodes dengan Yesus, kedua-dua mereka saling bermusuhan atau saling membenci disebabkan tegangan politik antara bidang kuasa Roma dengan bidang kuasa pihak Yahudi. Yang menghairankan, sewaktu pengadilan Yesus, hubungan mereka dipulihkan buat sementara waktu. Persahabatan yang retak terjalin. Hubungan baik mereka yang tidak disangka-sangka itu menunjukkan bagaimana tentangan terhadap Yesus dapat menyatukan dua kuasa yang asalnya tidak seia sekata.
Besar kemungkinan Herodes berterima kasih kepada Pilatus kerana membantu dia mencapai keinginan untuk bertemu dengan Yesus di samping memberikan penghormatan kepadanya untuk mengadili Yesus. Kedua-dua lelaki ini yang bertemu dengan musuh atau ancaman yang sama telah mengetepikan perselisihan mereka dan menjadi sahabat semula.
Kerana Yesus, Herodes dan Pilatus bersahabat padahal sebelum ini mereka bermusuhan. Walaupun Herodes tidak berjaya menyaksikan satu pun mukjizat daripada Yesus, namun dia tetap tidak bersedia membuat keputusan untuk mendakwa Yesus kerana dia sebenarnya tidak mendapati Yesus bersalah atas sebarang kesalahan. Sebaliknya, Herodes membalas budi Pilatus. Dia bersikap sopan dan menaruh hormat kepada Pilatus dengan cara menghantar Yesus kembali kepadanya. Dia lebih senang kalau Pilatuslah yang bertanggungjawab memberikan kata putus tentang Yesus. Perbuatan timbal balik disertai saling berpesan antara kedua-duanya telah mendamaikan hubungan mereka.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ampunkan segala dosaku. Bebaskanlah aku daripada segala kebencian dan kemarahan terhadap orang lain. Aku bersyukur kerana aku telah didamaikan dengan-Mu melalui Kristus. Tolonglah aku untuk turut mengusahakan pelayanan pendamaian kepada mereka yang memerlukannya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments