Kerendahan Hati Kristus dalam Membasuh Kaki
- 3 hours ago
- 2 min read

Meneladani Kerendahan Hati Kristus - Hari 8
Yohanes 13:1-17
“kemudian Ia menuangkan air ke dalam sebuah basi, dan mulai membasuh kaki murid-murid-Nya…”
Malam sebelum Yesus disalibkan terserlah seperti lilin dalam kegelapan, menunjukkan kepada kita kerendahan hati-Nya yang besar dengan lebih jelas daripada saat-saat lain. Dalam bacaan hari ini, kita melihat murid-murid berkumpul untuk Perjamuan Terakhir. Di sinilah Kristus akan melakukan perkara yang tidak dapat dibayangkan.
Fikirkanlah. Jika anda tahu kematian menanti anda keesokan harinya—apakah perkara terakhir yang akan anda lakukan? Pelajaran abadi apa yang ingin anda sampaikan? Dan bagaimana anda akan menyampaikannya? Bagaimanapun, ada banyak kebaikan dalam iman kita yang layak untuk diteruskan. Dari semua perkara, Kristus memilih untuk membasuh kaki murid-murid-Nya.
Tidak seorang pun dapat menjangkakan perkara ini. Membasuh kaki biasanya merupakan tugas seorang hambas. Namun di sini, Kristus menggunakannya untuk mengungkapkan pendorong utama di sebalik segala sesuatu yang Dia lakukan. Apakah itu? Itu adalah inti pati kerendahan hati. Dalam kata-kata Kristus sendiri, “Karena Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani dan untuk memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang.” (Markus 10:45).”
Bayangkan itu. Tuhan yang Mahakuasa, Pencipta Langit dan Bumi, Dia yang memegang alam semesta di telapak tangan-Nya - merendahkan diri untuk membasuh kaki manusia yang dibentuk dari debu tanah. Sukar untuk difahami sepenuhnya. Tetapi ketika kita merenungkannya, semakin kita sedar bahawa kita dipanggil untuk mengikuti jejak Tuhan kita - melayani orang lain dalam nama Kristus.
Doa
Dengan mengingat demonstrasi pembasuhan kaki oleh Yesus kepada murid-murid-Nya, marilah kita berdoa agar sebagai orang Kristian, kita diingatkan bahawa kita telah dipanggil untuk melayani, bukan untuk dilayani.
Gereja
Berdoalah agar kita dapat membuat perbezaan di dunia di mana penjagaan diri dan kepuasan diri diutamakan di atas segalanya.
Bangsa
Pembaharuan struktur dan tadbir urus yang baik dapat meningkatkan integriti perkhidmatan awam kita apabila orang ramai memberikan cadangan yang membangun tentang bahagian-bahagian yang perlu diperbaiki. Mari kita berdoa agar rakyat Malaysia meninggalkan budaya merungut yang berterusan dan mula melibatkan Kerajaan kita dengan maklum balas yang konstruktif.




Comments