top of page

Kepentingan Orang Lain

  • 1 day ago
  • 2 min read

Berjalan dalam Kerendahan Hati - Hari 7

Ayat Fokus: Filipi 2:4


Malam tadi, Suzie berbaring di atas katilnya sambil berfikir panjang tentang apa yang dikatakan oleh Cikgu Hannah mengenai Yesus Sang Hamba dan Maria sebagai hamba yang rendah hati dan taat (lihat Hari 6). Mereka melakukan perkara-perkara yang tidak mementingkan diri sendiri. Dia teringat bahawa dia sempat mengintai ke dalam Alkitab Cikgu Hannah pada hari Ahad. Dia telah melihat sesuatu yang menusuk hatinya seperti anak sumpit yang dilepaskan tepat ke dalamnya.


Tulisannya berbunyi:


J - Jesus first (Yesus dahulu)

O - Others next (Orang lain kemudian)

Y - Yourself last (Dirimu terakhir)


Dan di bawah perkataan J-O-Y (Sukacita) itu tertulis:


“Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain.” (Filipi 2:4).


Di bawah ayat itu pula, seseorang telah menulis, “melakukan ini akan membawa sukacita bagiku di dalam Yesus.”


Suzie mula menangis dan terus menangis. Dia menangis dengan penuh penyesalan dan bertaubat. Roh Kudus sedang menunjukkan kepadanya betapa dia sangat mementingkan diri sendiri selama ini. Dia hanya memikirkan kepentingannya sendiri dan melakukan apa yang dia mahu, tanpa mempedulikan orang lain.


Suzie mula berdoa sambil teresak-esak. “Yesus, saya sangat menyesal. Saya bertaubat atas sikap mementingkan diri, kesombongan, dan ketidaktaatan saya. Ajarlah saya sikap-Mu supaya saya meletakkan Engkau terlebih dahulu dan orang lain kemudian, sebelum diri saya sendiri. Terima kasih atas pengampunan-Mu. Amin.”


Dia berasa lega melihat frasa ‘janganlah menjaga kepentingan diri sahaja” dalam ayat tersebut. Ini bermakna dia masih boleh memperhatikan sebahagian kepentingannya, tetapi tidak meletakkannya sebagai yang utama. Ini akan menunjukkan lebih banyak kerendahan hati Kristus dalam hidupnya.


Suzie mengesat air matanya, menghembus hidungnya, dan perlahan-lahan tertidur dengan satu tekad baru untuk meneladani Yesus.


Renungkan: Mahukah kamu meletakkan Yesus terlebih dahulu, orang lain kemudian, dan dirimu terakhir?


DOA

Ya Abba Bapa, terima kasih kerana menunjukkan jalan kepada JOY (Sukacita) kepada saya. Apabila saya mengikut sikap kerendahan hati Yesus dengan mengutamakan Tuhan, dan memperhatikan kepentingan orang lain sebelum kepentingan saya, saya dapat menyenangkan hati-Mu. Dan Engkau memberikan saya sukacita di dalam Yesus. Semoga Roh Kudus-Mu menegur saya apabila saya melupakan hal ini dan membimbing saya kembali ke tingkah laku yang benar.


Gereja

Tuhan, biarlah saya melakukan segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau berbantah-bantah, supaya orang lain dapat melihat cahaya-Mu. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.


Bangsa

Berdoalah untuk kepimpinan yang bijaksana dalam kerajaan kita supaya kekayaan bumi kita tidak disia-siakan atau digunakan dengan tidak bijak. Ini akan memastikan generasi muda pada masa depan sentiasa mempunyai kecukupan.

Comments


bottom of page