Khabarkanlah Segala yang Dilakukan Tuhan dalam Hidupmu
- Komuniti Digital 05
- May 13
- 1 min read

“Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.” Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Yesus untuknya di seluruh bandar itu. Lukas 8:39 AVB
Lelaki yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis meminta Yesus untuk membenarkan dirinya mengikut bersama-Nya, tetapi Yesus memberitahu dia untuk pulang ke rumahnya dan mengkhabarkan apa yang telah dilakukan oleh Allah bagi dirinya.
Setelah lelaki itu mendengar pesan Tuhan Yesus kepadanya supaya pulang dan mengkhabarkan semua yang terjadi dalam hidupnya, dia pun pulang ke rumahnya dan pergi menyebarkan segala yang dilakukan Yesus untuknya di seluruh bandar tersebut. Banyak orang tersentuh dengan kesaksiannya sungguhpun mereka ketakutan kerana mereka mengenal siapa lelaki itu sebelum dia disembuhkan oleh Yesus.
Kesaksian kita adalah sangat berkuasa. Iblis takut mendengar kesaksian kita kerana kita mengisytiharkan keagungan Tuhan dan kekuasaan-Nya melalui kesaksian kita. Oleh itu, iblis tidak ingin mendengar kita menceritakan pekerjaan Tuhan.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah respons kita terhadap segala yang telah dilakukan Tuhan dalam hidup kita selama ini? Apakah kita bersedia dan juga bersemangat mengkhabarkan segala perbuatan Tuhan dalam hidup kita kepada semua orang yang di sekeliling kita hari ini?
Marilah kita ceritakan perbuatan Tuhan Yesus kepada orang lain selagi ada kesempatan.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon Engkau mengajar diriku untuk terus bersemangat menceritakan pekerjaan-Mu dalam hidupku kepada orang yang ada di sekelilingku, agar lebih banyak orang akan mengenal Engkau sebagai Tuhan yang maha berkuasa lagi menakjubkan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
Comments