Kita Diselamatkan Saat Kita Percaya dan Bertaubat
- 4 days ago
- 2 min read

Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.” Lukas 23:43 AVB
Penjahat kedua menegur penjahat pertama yang menghina Yesus. Dia bertanya sama ada penjahat pertama itu takut akan Allah. Baginya, hukuman mereka itu adil kerana mereka menerima balasan yang setimpal selepas melakukan jenayah. Dia mengesahkan bahawa Yesus pula tidak melakukan kesalahan apa-apa. Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.”
Apabila Yesus mendengar permohonan penjahat itu, Dia terus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.” Atas permohonan dan pengakuan penjahat itu kepada Tuhan Yesus, maka Yesus memberikan jaminan kepadanya bahawa pada hari itu juga penjahat tersebut akan bersama-Nya dalam Firdaus. Apakah yang dimaksudkan dengan “Firdaus” ini?
“Firdaus” ialah taman indah yang penuh dengan kesejahteraan dan digunakan oleh Allah untuk menempatkan manusia pertama sebelum mereka terjerumus ke dalam dosa (Kej 2:1-3:24). Dalam Perjanjian Baru Yesus menggunakan kata “Firdaus” untuk menunjukkan tempat tinggal bagi orang yang percaya kepada-Nya selepas meninggal dunia.
Oleh sebab penjahat itu mengakui dosanya di hadapan Yesus, maka dengan serta-merta Yesus menjanjikannya Firdaus sebagai balasan kerana segala dosanya diampunkan Yesus. Penjahat itu menerima jaminan penyelamatan daripada Yesus saat dia percaya kepada-Nya dan bertaubat. Pengakuan dosanya secara peribadi telah menyebabkan dirinya untuk memperoleh hidup kekal setelah kematian secara jasmani.
Hal ini menunjukkan bahawa pengampunan bergantung pada kasih kurnia Allah melalui iman kepada Yesus. Dengan kata lain, penyelamatan kita sama sekali bukan berdasarkan perbuatan atau pahala diri kita tetapi merupakan kurnia Allah. Penyelamatan kita tidak memerlukan masa yang lama untuk diterima. Alangkah baiknya Allah kerana penyelamatan akan terus kita terima saat kita percaya kepada Tuhan Yesus dan bertaubat daripada dosa kita. Tegasnya, marilah kita mengakui dosa kita dan menerima Yesus dalam hidup kita sekarang juga. Sebab pintu kasih kurnia dan penyelamatan terbuka luas bagi setiap kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima aku seadanya. Walaupun aku seorang yang berdosa tetapi Engkau tetap menerima aku kerana Tuhan Yesus telah menanggung dosaku di kayu salib untuk menebus aku. Betapa aku bersyukur atas kasih kurnia dan belas kasihan-Mu kepadaku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments