Kita hanya Pengurus bagi Allah
- Komuniti Digital 05
- Oct 10
- 2 min read

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya.” Lukas 16:1 AVB
Tuhan Yesus mengisahkan ibarat ini untuk menyedarkan dan mendorong murid-murid-Nya supaya mereka menjadi pengurus yang cerdik. Sebab semua sumber yang ada di dunia ini milik Allah. Oleh itu, mereka harus menjadi pengurus yang baik tanpa menyalahgunakan apa-apa sumber yang diamanahkan Allah kepada mereka. Sementara itu, orang Farisi sering kali mencemuh ajaran Yesus.
Seorang pengurus dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan menyelenggarakan harta benda empunya dengan baik. Dia tidak memiliki harta benda tersebut tetapi dia boleh menggunakannya demi kepentingan dan keuntungan tuannya. Yang paling penting ialah seorang pengurus mesti taat setia berkhidmat untuk tuannya. Harta benda milikan tuannya mesti diurus dengan cara yang akan menyenangkan hati tuannya demi manfaat tuannya juga. Yesus memperingatkan murid-murid-Nya supaya tidak menjadi pengurus curang yang menggunakan milik tuannya untuk memuaskan kepentingan dan kesenangan diri.
Janganlah jadi seperti pengurus dalam ibarat Yesus yang diamanahkan oleh orang kaya untuk mengurus harta bendanya. Malangnya, dia terlupa bahawa dia cuma pengurus dan mula berlagak sebagai tuan dengan memboroskan wang yang dipercayakan kepadanya dengan sesuka hati . Oleh sebab pengurus tidak jujur dan setia terhadap harta benda tuannya, maka aduan telah dibuat kepada tuannya.
Apabila tuan pemilik harta benda mendengar aduan tentang pengurusnya yang tidak jujur dan setia, maka dia pun memanggil pengurus itu dan berkata kepadanya, ‘‘Apakah yang telah kudengar tentangmu? Serahkan kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana kamu tidak boleh menjadi pengurus lagi.”
Bagaimanakah dengan diri kita selama ini? Apakah kita menjadi pengurus yang setia dan jujur kepada harta benda Allah? Sebab segala yang kita terima dan miliki dalam hidup ini kepunyaan Allah dan kita hanya pengurus yang diamanahkan-Nya untuk mengurusnya. Oleh itu, kita mesti mengurus semua pemberian Allah dengan sebaik-baiknya. Sekiranya kita tidak jujur dan amanah, maka Allah akan mengambil balik apa yang telah dipercayakan kepada kita. Jadilah pengurus harta benda Allah yang sentiasa boleh dipercayai.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana Engkau mengamanahkan aku dengan pelbagai kurnia dan pemberian. Ajarlah aku untuk menjadi pengurus yang setia, jujur dan bijak agar semua yang aku lakukan akan memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments