top of page

Kristus Memberikan Kekuatan

  • 1 day ago
  • 2 min read

 

Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan. Filipi 4:13 AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa dia berdaya menghadapi segala macam keadaan kerana dia hidup bersatu dengan Kristus. Dengan kata lain, Paulus membuat pengakuan secara peribadi bahawa hanya dengan kuasa Tuhan Yesus yang ada dalam dirinya, maka dia dapat mengatasi segala-galanya.

 

Kuasa Allah yang ada dalam diri Paulus telah memampukan dirinya untuk menanggung semua keadaan. Sebab secara jasmani dia memang lemah (tidak mampu) tetapi oleh sebab dia hidup bersatu dengan Kristus, maka Tuhan Yesus Kristus memberinya kekuatan. Paulus ingin menegaskan bahawa sumber kekuatannya bukan daripada dirinya tetapi daripada Allah.

 

Sesungguhnya, Paulus memperoleh kepuasan, kekuatan, sukacita dan damai sejahtera untuk berhadapan dengan semua keadaan kerana dia bergantung secara rohani kepada Tuhan Yesus dan bukan kepada kebolehan, kebijaksanaan atau tekad dirinya. Paulus berupaya menyempurnakan misi yang diamanahkan Allah kepadanya semata-mata kerana dia melakukannya melalui Yesus yang memberinya kekuatan. Memang dia menghadapi pelbagai cabaran dalam hidupnya, tetapi dia tidak pernah menyerah atau mengalah kerana dia tahu bahawa dalam Tuhan Yesus segala keadaan mampu ditanggungnya. Yesus sahaja yang memperkasakan dirinya untuk melalui segala keadaan kerana Dialah yang memberikan kekuatan kepadanya.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Sebagai manusia yang fana kita memang tidak mampu untuk melalui setiap keadaan yang wujud. Namun begitu, Tuhan Yesus sentiasa bersama kita. Maka segala perkara pasti dapat kita hadapi. Oleh itu, pastikan kita terus hidup bersatu dengan-Nya. Yakinlah bahawa Tuhan Yesus akan menolong kita untuk menghadapi keadaan apa jua. Marilah kita bersandar sepenuhnya pada Tuhan Yesus sahaja untuk pertolongan. Sebab selagi Tuhan Yesus bersama kita, selagi itulah kita berupaya melakukan segalanya melalui-Nya yang memberi kita kekuatan.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku bersyukur kerana Engkau sentiasa memberi aku kekuatan dan menolong aku dalam semua keadaan hidupku. Bimbinglah aku untuk terus berkongsi Injil dan beribadat kepada-Mu. Baik waktu senang mahupun waktu susah, ajarlah aku untuk bergantung sepenuhnya pada-Mu. Dalam nama-Mu yang di atas segala nama aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page