top of page

Laburlah Dalam Kerajaan Syurga

ree

“Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.” Lukas 12:33 AVB

 

Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya tentang hal-hal  lebih baik yang perlu dilakukan dalam hidup mereka. Mereka hendaklah tidak khuatir atau cemas berlebih-lebihan tentang perkara-perkara yang dihadapi mereka. Sebaliknya, mereka harus mengamalkan hidup yang teguh iman dan pengharapan kepada Allah.

 

Oleh itu, mereka tidak harus takut akan berbagai-bagai masalah yang ditempuh dalam hidup mereka. Sebab masalah dalam hidup ini pasti ada dan tiada kesudahannya. Namun demikian, satu perkara yang harus diingati mereka ialah mereka dapat menghalang masalah itu daripada membelenggu diri mereka, bak kata orang tua-tua yang bijaksana:

 

“Kita dapat menghalang burung daripada bersarang di atas kepala kita, namun kita tidak dapat menghalang burung daripada terbang melintasi kepala kita. Demikianlah juga dengan masalah dalam hidup ini. Kita tidak dapat menghalang masalah daripada datang mengacau kita, tetapi kita dapat menghalang masalah tersebut daripada berakar umbi dalam hati kita.”

 

Tuhan Yesus menasihati murid-murid-Nya supaya tidak keberatan atau takut untuk menjual semua harta benda mereka lalu menyumbangkan wang tersebut kepada orang miskin. Sebab dengan berbuat demikian, mereka menyediakan harta kekayaan yang tidak akan  lapuk bagi diri mereka, iaitu harta syurgawi yang tidak akan  kehabisan. Harta mereka akan selamat di syurga kerana pencuri tidak dapat mencurinya dan gegat tidak dapat merosakkannya.

 

Marilah kita melabur dalam kerajaan syurga selagi kita memiliki kesempatan untuk berbuat demikian pada hari ini kerana apa yang kita labur dalam pekerjaan Allah pasti akan membuahkan hasil dan tidak akan sia-sia. “Kerana di mana harta kita terkumpul, di situlah hati kita tertumpu.”

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk lebih banyak melabur  dalam pelayanan-Mu  daripada melabur untuk kepentingan diriku sendiri kerana aku tahu bahawa semua yang aku miliki pada hari ini sebenarnya milik-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page