top of page

Lakukan Apa Yang Dipelajari 

  • 4 hours ago
  • 2 min read

 

Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku — lakukanlah. Maka Allah, sumber segala damai sejahtera akan bersertamu. Filipi 4:9 AVB

 

Sebelum ini, rasul Paulus telah menasihati saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya sentiasa mengarahkan seluruh fikiran mereka kepada apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, dan apa sahaja yang dipandang tinggi. Pendek kata, mereka digesa untuk menumpukan fikiran kepada perkara-perkara yang baik dan yang terpuji.

 

Selanjutnya, Paulus mengajak mereka supaya melakukan apa yang telah dipelajari, diterima, didengar dan dilihat dalam dirinya, baik kata-katanya mahupun perbuatannya. Memandangkan Paulus telah menjadi guru dan teladan mereka selama ini, apa yang dipelajari mereka daripadanya hendaklah terus dilaksanakan.

 

Sebenarnya, terdapat dua pasangan kata kerja dalam ayat suci ini. Pasangan kata kerja yang pertama, iaitu “pelajari” dan “terima” menghuraikan saudara saudari dalam Kristus di Filipi yang telah mempelajari dan menerima ajaran tentang semua kebenaran dalam firman Allah dan bagaimana hidup bersatu dengan Kristus daripada Paulus. Pasangan kedua “dengar” dan “lihat” pula menggambarkan pemerhatian mereka terhadap Paulus dari segi kata-kata dan perbuatannya. Bagi jemaah awal, standard tentang kepercayaan dan tingkah laku orang Kristian diajarkan melalui kata-kata dan teladan para rasul kerana kitab-kitab Perjanjian Baru belum diedarkan secara meluas.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa Paulus sendiri telah mengamalkan apa yang diajarkannya dengan menumpukan fikiran kepada segala hal yang benar, mulia, adil, suci, indah dan dipandang tinggi. Oleh sebabPaulus sendiri telah mengamalkan cara hidup Kristian yang sejati, maka dia dapat memuliakan Allah dalam segala keadaan yang ditempuhinya. Apabila saudara saudari dalam Kristus mengikut dan menghayati semua ajaran itu, mereka boleh yakin bahawa Allah sebagai sumber segala damai sejahtera akan menyertai mereka.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita harus melatih diri kita supaya melakukan apa yang telah kita pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diri pemimpin jemaah yang takut akan Allah dan hidup mengikut jalan-Nya. Sebab dengan berbuat demikian, maka kita akan dapat melalui segala keadaan dalam hidup ini tanpa mudah patah semangat di samping dapat menyinarkan cahaya Kristus kepada orang di sekeliling kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan dan pimpinan-Mu sepanjang hidupku di dunia ini. Ajarlah aku untuk terus mengikut dan melakukan setiap ajaran yang berlandaskan Alkitab demi memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page