Lakukan Segalanya Tanpa Bersungut-Sungut
- 18 hours ago
- 1 min read

Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah, ... Filipi 2:14 AVB
Paulus menasihati saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mereka melakukan segala sesuatu tanpa bersungut-sungut dan berbantah-bantah atau bertengkar. Sebab seseorang yang sudah menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat dan hidup bersatu dengan-Nya memiliki Roh Kudus dalam dirinya. Oleh itu, sewaktu melakukan sesuatu, khususnya dalam pelayanan, dia tidak sepatutnya berkata-kata kerana berasa tidak puas hati, tidak suka , marah dan sebagainya.
Sekiranya seseorang itu sudah hidup bersatu dengan Kristus dan memiliki Roh Kudus dalam diri, dia seharusnya memiliki sifat ingin taat kepada Allah. Apabila dia mengerjakan segala sesuatu, maka dia tidak akan berbalah atau berselisih pendapat dengan rakan sepelayanan kerana tidak bersetuju atau tidak sependapat tentang sesuatu. Dia tidak mahu mendukakan hati Allah.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah terbukti bahawa kita sesungguhnya hidup bersatu dengan Kristus? Sekiranya kita sudah hidup bersatu dengan Kristus, maka kita akan mengerjakan segala sesuatu dengan sungguh-sungguh, tanpa bersungut-sungut dan berbantah-bantah. Penekanan dalam ayat suci ini ialah perkataan “segala perbuatan”. Kebanyakan kita dapat melakukan beberapa perkara tanpa bersungut-sungut. Akan tetapi, kita digesa untuk melakukan “segala perbuatan” dengan hati yang sukacita. Inilah cabarannya. Betapa tidak mudah!
Sebagai bukti bahawa kita telah diselamatkan dan diampuni, hidup kita akan memperlihatkan transformasi dari segi perkataan dan perbuatan. Dalam semua situasi kita ingin bersinar untuk mencerminkan sifat Allah. Ingatlah bahawa Allah yang bekerja dalam diri kita, menyebabkan kita berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan diriku kepada-Mu. Tolonglah aku agar sewaktu aku mengerjakan sesuatu, aku akan melakukannya dengan hati yang penuh kasih dan kesyukuran. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments