Layanilah Allah Dengan Hati Yang Benar
- 3 hours ago
- 2 min read

... ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib Kristus. Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan fikiran kepada perkara dunia. Filipi 3:18b-19 AVB
Rasul Paulus meluahkan rasa sedih hatinya kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi tentang sesetengah yang menganggap diri mereka sebagai pengikut Kristus tetapi telah merosakkan erti kematian Kristus di atas kayu salib melalui cara hidup mereka. Hal ini bermakna bahawa mereka menafikan kuasa Injil dengan menjalani hidup yang memenuhi keinginan sifat tabii mereka.
Oleh itu, Paulus memberikan amaran bahawa cara hidup yang sedemikian hanya akan membawa diri mereka kepada kebinasaan. Mereka sebenarnya tidak takut kepada Allah dan tidak setia melayani-Nya, tetapi mereka leka memuaskan keinginan diri sendiri sahaja. Oleh sebab mereka mengutamakan hal-hal duniawi, pilihan mereka itu akan menjarakkan mereka daripada Allah dan akhirnya mendatangkan kebinasaan rohani.
Walaupun mereka mengakui diri mereka sebagai pengikut Kristus, tetapi tuhan mereka sesungguhnya merupakan perut mereka, kemuliaan mereka pula adalah dalam keaiban mereka. Cara hidup sedemikian telah merosakkan erti kematian Kristus di atas kayu salib. Orang percaya di Filipi harus berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah diterima. Orang demikian bukanlah hamba Tuhan Yesus Kristus tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri.
Oleh itu, hidup Paulus sebagai seorang pengikut Kristus yang sejati merupakan teladan yang harus diikut mereka. Apabila cahaya dan kasih kurnia Allah menyentuh hidupnya, maka secara langsung hidupnya telah mengeluarkan buah-buah yang benar. Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Janganlah kita merosakkan erti kematian Kristus di atas kayu salib melalui cara hidup kita yang berpusat pada keinginan sifat tabii, seperti kekayaan, status, keseronokan dan kuasa duniawi. Biarlah kita bertekad supaya tidak akan hidup sebagai seteru kepada salib Kristus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau memberi aku hati yang tidak berbelah bahagi supaya aku akan taat setia kepada-Mu. Ajarlah aku untuk mengenal kehendak-Mu demi memuliakan-Mu dan tetap melayani-Mu selama aku hidup. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments