Lebih Mengasihi Yesus
- Komuniti Digital 05

- Sep 22
- 1 min read

“Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi murid-Ku.” Lukas 14:26 AVB
Tuhan Yesus berkata kepada orang ramai yang berduyun-duyun mengikut-Nya, “Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi murid-Ku.”
Kata-kata Yesus bermaksud bahawa banyak orang berpusu-pusu mengiringi-Nya hanya sekadar mahu menyaksikan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan-Nya dan bukan atas kasih yang besar kepada-Nya. Oleh itu, sekiranya seseorang mahu mengikut Yesus, kasihnya kepada Yesus mestilah lebih besar daripada kasihnya kepada semua orang dalam hidupnya.
Andai kata kasihnya kepada anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, termasuk diri sendiri lebih besar daripada kasihnya kepada Tuhan Yesus, maka orang itu tidak layak mengikut Yesus. Sebab apabila kasihnya kepada Tuhan Yesus separuh-separuh, maka penyerahan dirinya kepada-Nya tidaklah teguh dan sejati.
Pendek kata, seseorang yang memutuskan untuk mengikut Tuhan Yesus hendaklah mengutamakan kasih dan taat setia kepada-Nya dan tidak sekali-kali meletakkan sesiapa sahaja mendahulukan Tuhan Yesus. Yesuslah yang terutama dalam hidupnya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk jauh lebih mengasihi-Mu berbanding dengan kasihku kepada semua orang atau hal yang lain dalam hidupku. Biar Engkaulah yang terpenting dalam hidupku ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments