Lengkapkan Hidup Kita dengan Firman Allah
- Komuniti Digital 05

- Jul 9
- 2 min read

“Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.” Lukas 11:26 AVB
Yesus melanjutkan ajaran-Nya tentang peristiwa pembebasan orang bisu yang dirasuk oleh roh iblis. Dengan menyampaikan ibarat Yesus memberitahu bahawa apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat. Bagaimanapun, apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya. Di sini rumah merujuk kepada tubuh orang yang sudah dibebaskan daripada penguasaan roh jahat.
Dengan tegasnya, Yesus memperingatkan mereka yang membuat tuduhan tentang cara Dia membebaskan orang bisu daripada penguasaan roh jahat. Menurut Yesus, apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu akan pulang ke rumah yang telah ditinggalkannya.
Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas. Lalu roh itu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.
Akibatnya, keadaan orang itu akan menjadi jauh lebih teruk lagi kerana roh jahat yang pertama telah membawa tujuh roh jahat lain yang lebih durjana daripadanya untuk memasuki tubuh orang itu lalu tinggal di dalamnya. Betapa sedih dan malangnya bahawa orang yang awalnya sudah bebas terkongkong pula secara lebih dahsyat lagi.
Dengan itu, apabila kita dibersihkan daripada segala kejahatan, maka kita harus memenuhi hati kita dengan kebenaran firman Allah agar hidup kita tertutup sama sekali daripada roh jahat.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi memuji dan mengagungkan nama-Mu. Kerana hadirat-Mu, aku dapat menikmati perkara-perkara yang besar dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments