Lihat Sesuatu Dari Sudut Positif
- Komuniti Digital 05
- 13 minutes ago
- 2 min read

Jawapan Yesus memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara mulia yang dilakukan oleh Yesus. Lukas 13:17 AVB
Tuhan Yesus dituduh melanggar hukum Taurat kerana Dia dianggap tidak menjaga kesucian hari Sabat apabila Dia menyembuhkan seorang perempuan yang sakit selama 18 tahun pada hari Sabat. Oleh itu, Yesus pun membangkitkan perbuatan para ahli Taurat yang melepaskan haiwan ternakan seperti lembu dan keldai mereka dari kandang untuk dibawa pergi minum air setiap hari, termasuk hari Sabat. Yesus turut menanyakan sebab seorang perempuan daripada keturunan Abraham yang telah dibelenggu oleh Iblis selama 18 tahun tidak harus dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat.
Nampaknya penyembuhan perempuan tersebut menyebabkan tindak balas yang berbeza daripada golongan yang berlainan. Bagi ketua saumaah (rumah ibadat) dan rakan-rakannya yang menjadi musuh kepada Yesus, jawapan-Nya terang-terang menjatuhkan maruah mereka. Sebab jawapan Yesus sesungguhnya telah memalukan diri mereka di hadapan orang ramai yang datang mendengar ajaran Yesus di saumaah.
Sebaliknya, orang ramai bersukacita menyaksikan mukjizat penyembuhan perempuan yang sakit selama 18 tahun akibat dirasuk roh iblis. Mereka terhibur melihat perempuan yang sakit itu sudah sembuh daripada penyakitnya. Peristiwa ini memperlihatkan sesuatu yang luar biasa, mengagumkan dan baik sekali. Mereka sebenarnya juga melihat kuasa besar dan belas kasihan Tuhan Yesus yang membawa pembebasan dan penyembuhan kepada perempuan itu.
Berdasarkan peristiwa ini, kita belajar satu perkara yang sangat penting untuk kita renungkan dalam hidup kita di dunia ini. Dalam setiap perkara yang kita lakukan bukanlah semua orang akan gembira terhadap kita. Sudah tentu ada yang berasa tidak senang hati tetapi ada juga yang akan senang hati.
Jadi, kita harus mengajar diri kita untuk sentiasa melihat hal-hal yang baik dan tidak menghiraukan hal-hal yang sebaliknya. Sebab jika kita melihat dari sudut positif, kita akan mendapat berkat dan dorongan untuk terus maju dalam hidup rohani kita. Oleh itu, elakkan diri daripada melihat dari sudut negatif, tetapi tumpukan mata kita ke arah positif dan tetap teguh iman.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk melihat segala perkara yang terjadi di sekelilingku dari sudut positif agar aku dapat melihat kebaikan-Mu yang luar biasa dalam segala perkara. Ciptalah hati yang sentiasa melihat dari sudut pandangan-Mu dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments