Marta Gelisah Membuat Banyak Kerja
- Komuniti Digital 05
- 9 hours ago
- 1 min read

Tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.” Lukas 10:40 AVB
Sewaktu Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke dalam rumah Marta, dia bersibuk-sibuk membuat banyak persiapan untuk melayani semua orang yang datang bersama-sama Yesus dengan baik. Kesannya, dia menjadi letih dan khuatir lalu mengeluh kerana terlalu banyak kerja yang harus dibereskannya.
Marta juga tidak senang hati lalu bersungut kerana Maria adiknya tidak menolongnya untuk membuat apa-apa kerja. Dia pun datang kepada Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.”
Apabila mendengar keluhan hati Marta, Yesus pun menasihatinya dengan berkata, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.”
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita mengeluh kerana terdapat banyak kerja yang harus kita siapkan lalu kita sangka bahawa tidak ada orang yang mempedulikan jerih payah kita?
Oleh itu, marilah kita melakukan segala perkara demi Tuhan Yesus dengan lapang hati dan penuh sukacita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk melakukan segala pekerjaanku dengan lapang hati dan penuh sukacita. Ampunilah aku sekiranya aku mengeluh atau bersungut-sungut ketika menyempurnakan pekerjaan-Mu. Ubahlah sikapku dan pakailah aku untuk terus giat melakukan pekerjaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments