top of page

Mati Ialah Keuntungan

  • 15 hours ago
  • 2 min read

... dan mati ialah keuntungan.  Filipi 1:21b AVB

 

Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa bagi dirinya secara peribadi kematian lebih berfaedah. Dengan kata lain, mati ialah keuntungan. Sebab pada saat ini dia sedang berada di dalam penjara kerana mengabdikan dirinya kepada Yesus untuk memberitakan Injil-Nya. Paulus berharap sungguh-sungguh bahawa dalam apa-apa hal pun dia tidak menjadi malu, melainkan dengan segala keberaniannya seperti biasa, Kristus akan ditinggikan dalam dirinya, baik melalui hidup mahupun mati.

 

Sekiranya dia mati sewaktu dia mengabdikan dirinya kepada Yesus Kristus, hal ini merupakan satu keuntungan besar bagi dirinya. Mati mengabdikan diri kepada Kristus sesungguhnya satu kemenangan kerana dapat hidup bersama dengan Kristus di tempat yang disediakan-Nya. Terhapuslah setiap titik air mata. Tiadalah lagi kematian, penderitaan, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi juga kesakitan atau kekurangan tubuh badan.

 

Oleh itu, kematian kerana mengabadikan diri kepada Kristus sangat berbaloi bagi Paulus. Kematian secara jasmani kerana melayani Kristus bukan hal yang menakutkan bagi dirinya. Sebab kematian secara jasmani lebih menguntungkan dirinya kerana dia akan dibawa ke hadirat Kristus untuk bersama-Nya selama-lamanya.

 

Janganlah kita berasa takut dengan kematian secara jasmani kerana kita telah mengabdikan diri kita kepada Kristus. Sebab setiap orang yang mati dalam Kristus menerima hidup yang kekal dalam Yesus Kristus. Ingatlah, Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.” Yohanes 11:25 AVB

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau berjanji bahawa setiap orang yang menerima-Mu sebagai Penyelamat dan Tuhan secara peribadi tidak perlu takut akan kematian jasmani. Sebab Engkau telah menaklukkan kematian dan dalam-Mu ada hidup kekal bagi orang yang percaya kepada-Mu. Terima kasih, ya Tuhan Yesus, kerana kematian tidak ada lagi sengatnya. Dalam nama-Mu yang memberikan hidup aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page