top of page

Melakukan Segalanya Melalui Yesus

  • 3 days ago
  • 2 min read

Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan. Filipi 4:13 AVB

 

Paulus amat bersukacita dalam Tuhan Yesus Kristus kerana keprihatinan jemaah Filipi terhadapnya telah semarak semula. Sebenarnya, orang percaya di Filipi sangat memperhatikan keadaan dirinya dan mengambil berat terhadapnya.

 

Paulus menceritakan pengalaman hidupnya dalam semua keadaan selama dia percaya dan menjadi murid Kristus. Dia menceritakan semua hal ini bukan kerana mereka telah melupakan dirinya di penjara, tetapi dia berkata sedemikian kepada mereka kerana dia mengerti apa itu hidup demi Kristus.

 

Paulus mengetahui rahsia untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan hidup dalam Tuhan Yesus, iaitu dalam keadaan apa-apa pun dia telah belajar berasa cukup. Dia tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa-apa sahaja, dia telah belajar berasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah. Dia sudah tidak asing lagi untuk hidup pada saat berkekurangan dan hidup pada saat berkecukupan.

 

Sesungguhnya, Paulus memperoleh kepuasan, kekuatan, sukacita dan damai sejahtera untuk berhadapan dengan semua keadaan kerana dia bergantung secara rohani kepada Tuhan Yesus dan bukan kepada kebolehan, kebijaksanaan atau tekad dirinya. Paulus berupaya menyempurnakan misi yang diamanahkan Allah kepadanya semata-mata kerana dia melakukannya melalui Yesus yang memberinya kekuatan.

 

Demikianlah juga dengan diri kita pada hari ini. Yakinlah bahawa Tuhan Yesus akan menolong kita untuk menghadapi semua keadaan yang wujud. Marilah kita bersandar sepenuhnya pada Tuhan Yesus sahaja untuk pertolongan. Sebab selagi Tuhan Yesus bersama-sama kita, selagi itulah kita berupaya melakukan segalanya melalui-Nya yang memberi kita kekuatan.

 

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku berterima kasih kerana Engkau sentiasa memberi aku kekuatan dan menolong aku dalam semua keadaan hidupku. Bimbinglah aku untuk terus berkongsi Injil dan beribadat kepada-Mu. Baik waktu senang mahupun waktu susah, ajarlah aku untuk bergantung sepenuhnya pada-Mu sahaja. Dalam nama-Mu, ya Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page