Melalui Anugerah-Nya Tuhan Mengubah Diri Manusia
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 1 min read

'Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah.” ' (Lukas 18:27) AVB
Apabila Yesus melihat bahawa orang kaya itu sangat sedih dengan perintah-Nya, maka Dia pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya bahawa adalah sangat sukar untuk seorang kaya masuk ke dalam Kerajaan Allah dan lebih mudah bagi seekor unta untuk masuk melalui lubang jarum daripada orang kaya masuk ke dalam Kerajaan Allah.
Sewaktu pengikut-pengikut-Nya mendengar ucapan yang disampaikan oleh Yesus kepada mereka, maka mereka pun bertanya kepada-Nya, “…sekiranya orang kaya sangat sukar untuk masuk ke dalam Kerajaan Allah, maka siapakah yang dapat diselamatkan?”
Untuk menjawab persoalan yang timbul dalam fikiran mereka, Yesus berkata kepada mereka bahawa “apa yang tidak boleh dilakukan oleh manusia, Allah sanggup melakukan semuanya…”
Hal ini bermaksud bahawa memang jalan menuju keselamatan sangat sukar dan sulit untuk dilakukan, namun semuanya boleh diatasi melalui anugerah Tuhan yang maha kuasa kepada kita, iaitu anugerah-Nya yang bekerja di dalam jiwa manusia dan mengubah hati manusia yang sesat supaya kembali kepada-Nya.
Bagi manusia mungkin hal ini mustahil, iaitu untuk mengubah jiwanya sendiri agar dia berpaling daripada dunia ini kepada Tuhan. Tetapi Tuhan sendiri yang akan mengerjakan hal itu di dalam diri kita sehingga manusia rela untuk meninggalkan segala hal dunia ini untuk datang kepada Tuhan.
Doa: Tuhan, di dalam-Mu aku dapat melakukan segala perkara yang sukar untuk dilakukan, sebab kuasa-Mu yang memungkinkan aku melepaskan segala perkara dalam hidup ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments