Melalui Roh-Nya, Rahsia Rancangan-Nya Dinyatakan
- Jul 10
- 1 min read

“…Pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada anak manusia, sebagaimana sekarang telah dinyatakan oleh Roh kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci —.”
Efesus 3:5 (AVB)
Kepada mereka yang hidup pada zaman-zaman silam, rahsia itu belum diberitahu oleh Allah kepada manusia. Rahsia itu ialah bahawa melalui Injil, orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah yang dahulu difahami sebagai milik umat Yahudi.
Namun, pada masa ini, Allah melalui Roh-Nya telah menyatakan rahsia rancangan-Nya kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci. Mereka menerima penyataan daripada Allah untuk memahami dan menyampaikan rancangan-Nya kepada umat-Nya.
Demikian juga dengan Paulus. Melalui Roh Kudus, Allah telah menyatakan rahsia rancangan-Nya kepada Paulus. Oleh itu, Paulus menulis kepada jemaat di Efesus secara ringkas supaya apabila mereka membacanya, mereka dapat memahami rahsia tentang Kristus sebagaimana Paulus juga memahaminya.
Melalui Roh Kudus, Allah menyatakan rancangan-Nya yang selama ini tersembunyi kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci. Demikian juga pada hari ini, Allah memberikan Roh-Nya kepada setiap orang percaya supaya kita dapat memahami rancangan-Nya bagi hidup kita.
Oleh itu, kita sangat bersyukur kepada Tuhan kerana melalui Roh-Nya, kita dapat memahami rancangan-Nya bagi diri kita. Dengan itu, marilah kita membenarkan Roh-Nya terus memimpin dan menguasai hidup kita setiap hari.
Sebab melalui Roh-Nya, kita dapat memahami rahsia rancangan-Nya.
Doa: Tuhan Yesus, terima kasih atas Roh-Mu yang Engkau berikan kepada aku. Melalui Roh-Mu, aku dapat memahami rancangan-Mu bagi hidup aku dan bagi semua orang yang telah bertaubat serta menerima Engkau dalam hidup mereka. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments