top of page

Melupakan Segala Yang Di Belakang

  • 9 hours ago
  • 2 min read

 

Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, …  Filipi 3:13 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa dia mengetahui dia belum lagi mencapai tujuannya, iaitu mengenal Tuhan Yesus Kristus sepenuhnya, dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya. Dengan kata lain, dia belum mencapai kematangan rohani yang menyeluruh atau berjaya memenangi hadiah yang disediakan oleh Tuhan Yesus bagi dirinya.

 

Atas kesedaran ini, Paulus mengarahkan seluruh jiwa raganya untuk mencapai sasaran itu. Dia harus melupakan apa yang di belakangnya. “Melupakan” tidak bererti meluputkan semua ingatan tentang masa silamnya. Akan tetapi, dia sama sekali tidak akan membenarkan masa silamnya sama ada kegagalan atau rasa bersalah, bahkan pencapaian menuntut perhatiannya sehingga menghalang pertumbuhan hidup rohaninya.

 

Paulus membandingkan hidupnya sebagai orang Kristian dengan lumba lari. Dalam sesuatu perlumbaan, dia harus menghadap ke depan dengan sekuat tenaga dan mengarahkan matanya kepada garis akhir untuk memenangi hadiah. Dia mesti berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapannya. Betapa penting dia memfokuskan mata kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna imannya.

 

Demikian jugalah dengan diri kita pada hari ini. Kita harus melupakan apa yang di belakang kita dan terus berusaha sekuat tenaga kita untuk mendapatkan segala yang di hadapan. Ingatlah untuk menerima kasih kurnia dan belas kasih Allah supaya dosa dan kegagalan masa lalu tidak melumpuhkan iman kita. Jangan banggakan kejayaan masa lalu juga. Biarlah kita menyalurkan seluruh jiwa raga kita untuk beribadat kepada Allah dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan demi kemuliaan-Nya.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, tolonglah aku untuk terus mengarahkan pandangan mataku kepada-Mu dengan melupakan segala apa yang di belakangku. Ajarlah aku untuk terus berusaha untuk mencapai apa yang di hadapanku demi memenangi hadiah yang Engkau sediakan bagiku. Dalam nama-Mu yang di atas segala nama aku berdoa. Amin.

Comments


bottom of page