top of page

Memilih Yesus, Memilih Penderitaan

ree

“Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu dan kamu akan dibenci oleh semua kerana nama-Ku.” Lukas 21:16-17 AVB

 

Tuhan Yesus memperingatkan setiap orang yang mahu mengikut-Nya supaya bersiap sedia untuk mengalami pelbagai tentangan dan penderitaan dalam hidup mereka. Sebenarnya, mengikut Tuhan Yesus bererti bahawa kita menolak semua kepentingan diri, keseronokan dunia dan menyerahkan segenap diri kepada-Nya. Memandangkan kita mengikut Yesus, maka dunia ini akan membenci kita kerana dunia terlebih dahulu telah membenci Yesus.

 

Oleh yang demikian, pengikut-pengikut Yesus harus sedar bahawa bantahan atau bangkangan bukan sahaja datang daripada mereka yang menentang pemberitaan Injil tetapi juga daripada orang tua, adik-beradik, sanak saudara, dan sahabat handai mereka sendiri.

 

Tegasnya, apabila kita memilih untuk mengikut Tuhan Yesus, janganlah hairan jika kita mungkin akan dikhianati oleh ibu bapa, adik-beradik, sanak saudara dan sahabat handai. Tidak dinafikan bahawa kita akan dibenci orang di dunia kerana nama Tuhan Yesus. Mereka akan menangkap dan menyerahkan diri kita untuk diseksa oleh penguasa yang menentang Allah. Bahkan beberapa antara kita akan dibunuh orang sehingga kita tidak mengetahui siapa lagi yang boleh dipercayai atau di mana lagi ada tempat yang selamat.

 

Nyatalah, memilih Tuhan Yesus bererti memilih penderitaan dan tentangan. Relakah kita berkorban demi-Nya? Ingatlah, Tuhan Yesus telah menanggung penderitaan, penghinaan, dan seksa salib demi penyelamatan kita.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, teguhkan hatiku untuk mengharungi pelbagai penderitaan dan ancaman yang datang daripada kuasa jahat atas sebab aku memutuskan untuk mengikut Engkau. Kuatkan iman dan kasihku untuk tetap taat setia dan melayani-Mu. Dalam nama-Mu yang maha berkuasa aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page