top of page

Mendengar Injil Tentang Penyelamatan

  • 6 days ago
  • 2 min read

Kamu juga dalam Kristus setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Kudus yang dijanjikan-Nya,  Efesus 1:13 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu jemaah di Efesus bahawa mereka menjadi umat Allah ketika mereka mendengar berita tentang ajaran benar, iaitu Injil atau berita baik yang membawa penyelamatan kepada mereka. Setelah mereka percaya kepada Kristus, Allah mengurniai mereka Roh Kudus yang telah dijanjikan-Nya untuk menunjukkan bahawa mereka sudah menjadi milik Allah. Pendek kata, mendengar Injil, percaya kepada Kristus dan dimaterai dengan Roh Kudus menandakan bagaimana seseorang menjadi milik Allah.

 

Sejak bertemu dengan Kristus dalam perjalanan ke Damsyik, Paulus tidak teragak-agak menyebarkan Injil atau berita baik kerana Injil merupakan kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani. Menurut Alkitab, Injil atau berita baik ialah perkhabaran yang penuh sukacita bahawa Allah menyelamatkan manusia yang berdosa melalui hidup, kematian, dan kebangkitan Yesus Kristus, serta janji tentang Kerajaan Allah yang akan mengakhiri penderitaan, penyakit, dan kejahatan kelak.

 

Sebenarnya, Paulus mengingatkan jemaah di Efesus yang kebanyakannya terdiri daripada orang bukan Yahudi bahawa janji Allah yang pada asalnya diberikan kepada orang Yahudi kini juga diaplikasikan kepada mereka. Semua orang percaya sama ada orang Yahudi ataupun bukan Yahudi disatukan dalam satu iman. Oleh itu, untuk menjadi umat Allah, mereka bukan sahaja mendengar kata kebenaran atau Injil, tetapi mereka mesti percaya dan menaruh iman kepada Yesus secara peribadi sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Allah akan mengampunkan dosa mereka supaya mereka hidup bersatu dengan Kristus.

 

Apabila mereka menjadi umat Allah, maka Allah akan mengurniai setiap mereka dengan Roh Kudus-Nya yang telah dijanjikan kepada mereka melalui Yesus Kristus. Tuhan Yesus sendiri yang memohon kepada Allah Bapa untuk mengurniai semua orang percaya Penolong yang akan menyertai mereka selama-lamanya. Penolong itu ialah Roh Kudus. Melalui Roh Kudus, maka mereka akan dimateraikan sebagai milik Allah secara abadi.

 

Marilah kita menaikkan puji-pujian dan kesyukuran kepada Allah kerana setelah kita menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat dalam hidup kita secara peribadi, Allah telah menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan. Roh Kudus akan mengajar kita segala-galanya dan mengingatkan kita tentang apa yang telah diajarkan Yesus serta membimbing kita ke arah segala kebenaran.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana mengampuni aku dan menerima aku sebagai anak-Mu. Jadikanlah aku anak-Mu yang taat setia dan mengasihi-Mu dengan sepenuh hatiku, sepenuh jiwaku, sepenuh fikiranku, dan sepenuh kekuatanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page