top of page

Mendoakan Kasih Kepada Allah Bertambah-Tambah

  • 28 minutes ago
  • 2 min read

Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian ... Filipi 1:9 AVB

 

Rasul Paulus berdoa untuk saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya kasih setiap mereka kepada Allah dan sesama mereka akan semakin bertambah-tambah dengan pengetahuan yang benar dan dengan segala pengertian rohani. Jelaslah bahawa Paulus amat mensyukuri perkongsian jemaah di Filipi dalam pelayanan pemberitaan Injil. Dia terdorong untuk mendoakan kesejahteraan dan kematangan rohani mereka.

 

Doa Paulus ini menunjukkan kerinduan hatinya terhadap saudara saudari dalam Kristus di Filipi. Tidak dapat dinafikan bahawa kasih dan keprihatinan kepada orang lain dapat diperlihatkan dalam doa. Paulus ingin sekali melihat jemaah di Filipi makin hari makin teguh iman. Oleh itu, dia sentiasa tekun mendoakan mereka di hadirat Allah.

 

Paulus berdoa kepada Allah agar kasih mereka itu bukanlah berdasar pada perasaan mereka sahaja tetapi pada kebenaran firman Allah. Tegasnya, kasih mereka hendaklah bertambah seiringan dengan pengetahuan peribadi tentang Allah dan firman-Nya secara mendalam untuk berakrab dengan-Nya dan mentaati kehendak-Nya. Selain itu, kasih mereka hendaklah bertambah dengan pengertian rohani supaya mereka dapat membuat pilihan dan keputusan yang benar dengan penuh kebijaksanaan dalam pelbagai situasi hidup.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita mendoakan saudara saudari dalam Kristus yang ada bersama dengan kita? Apakah kita berdoa seperti Paulus berdoa untuk saudara saudari dalam Kristus yang ada di Filipi? Marilah kita berdoa untuk saudara saudari dalam Kristus agar kasih mereka kepada Allah dan sesama diri akan semakin bertambah-tambah dari hari ke hari dengan pengetahuan yang benar dan segala pengertian rohani demi kemuliaan Allah.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus berdoa untuk saudara saudari yang seiman supaya kasih mereka kepada-Mu dan juga kepada sesama diri akan bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian. Biarlah mereka makin hari makin mengenal-Mu dengan akrab. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page