Mendoakan Kekuatan Iman Saudara Kita
- Komuniti Digital 05

- 19 minutes ago
- 2 min read

“Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Lukas 22:32 AVB
Tuhan Yesus secara peribadi meyakinkan diri Petrus bahawa Dia sudah berdoa untuk dirinya supaya imannya tidak akan goyah sewaktu dia melalui berbagai-bagai cubaan. Yesus sudah sedia maklum bahawa Petrus akan menyangkal bahawa dia mengenal-Nya sebanyak tiga kali sebelum ayam berkokok pada hari itu. Walaupun Petrus terkandas pada ketika itu, tetapi doa Yesus menjamin imannya tidak akan hilang sepenuhnya. Apabila Petrus bertaubat dan berbalik kepada-Nya, dia akan menguatkan iman saudara-saudaranya yang lain.
Ayat ini jelas memperlihatkan kasih kurnia dan campur tangan Allah, realiti tentang godaan dan ujian secara rohani daripada Iblis dan seruan bagi mereka yang telah dipulihkan daripada pengalaman pahit untuk membantu saudara seiman yang lain. Secara tidak langsung, Yesus memperingatkan Petrus supaya tidak takut atau lemah semangat apabila dia menempuh pelbagai cubaan dan penderitaan. Sebab Dia sudah berdoa untuk Petrus supaya imannya tidak akan lenyap sama sekali. Dengan itu, Petrus harus tetap percaya kepada Yesus dan beriman sepenuh pada-Nya.
Meskipun dia jatuh tetapi dia harus bangkit dan kembali kepada Tuhan Yesus untuk menerima pengampunan dan pemulihan. Dia harus ingat setelah dia kembali kepada Yesus bahawa dia akan menguatkan saudara-saudaranya yang lain untuk meneruskan pelayanan mereka kepada Allah.
Dalam perjalanan hidup kita di dunia ini, kita juga memerlukan sokongan doa daripada saudara saudari kita yang seiman, agar kita akan tetap kuat dalam iman kita walaupun mengharungi pelbagai cubaan dan godaan. Atas doa dan syafaat mereka, kita tetap dapat bertahan. Oleh itu, janganlah lupa akan saudara saudari kita yang seiman kerana kesatuan kita dalam doa menolong kita bertahan sehingga hari ini biarpun pernah menghadapi kekecewaan atau kegagalan dalam perjalanan iman kita. Doakanlah satu sama lain kerana doa mempunyai kuasa yang hebat.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas saudara saudariku yang seiman, yang sentiasa mendoakan dan menguatkan imanku. Doa mereka menjadikan aku tetap kuat dan bertahan dalam perjalanan imanku. Berkatilah mereka dan pakailah hidup mereka demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments