Menentukan Apa yang Benar Bagi Diri Sendiri
- Komuniti Digital 05
- 4 days ago
- 1 min read

“Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?” Lukas 12:57 AVB
Yesus menegur orang ramai yang mendengar ajaran-Nya tentang tanda-tanda kedatangan Mesias yang jelas kelihatan dalam-Nya tetapi mereka membuat pilihan dan keputusan yang salah bagi diri mereka sendiri. Bukan sahaja mereka perlu membuka mata, mereka juga perlu membuka hati untuk menentukan apa yang benar bagi diri mereka.
Sedihnya, mereka tidak membuat keputusan sendiri tentang apa yang benar bagi diri mereka, bahkan mereka enggan memilih jalan yang benar bagi diri mereka. Walaupun tanda-tanda kedatangan Mesias sangat jelas diperlihatkan, tetapi mereka masih berotak udang dan berhati batu tentang apa yang benar.
Oleh itu, Yesus bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?” Sebab semuanya sudah nyata dalam diri-Nya. Mereka memang dianggap sebagai degil lagi bodoh kerana tidak mempedulikan petunjuk-petunjuk yang diberikan Allah kepada mereka.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Sekiranya kita membuka mata dan hati kita supaya kita dapat berfikir baik-baik untuk memutuskan apa yang benar, maka kita pasti akan melihat kebenaran yang dinyatakan melalui Kristus dengan jelas. Dengan itu, kita akan membuat keputusan yang benar bagi diri kita menurut firman Allah. Tegasnya, janganlah kita berfikiran tertutup terhadap kebenaran Allah atau membiarkan diri kita dikuasai oleh fikiran sifat tabii yang berdosa.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menyatakan kebenaran-Mu kepadaku melalui firman-Mu. Ajarlah aku untuk mengenal dan mentaati kebenaran-Mu setiap hari agar aku akan membuat keputusan yang benar untuk diriku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments