Mengenal Rancangan Allah Bagi Hidup Kita
- 18 minutes ago
- 2 min read

Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, ... Filipi 1:25 AVB
Rasul Paulus sangat yakin dengan rancangan Allah bagi dirinya. Sekiranya Allah memanjangkan umurnya di dunia ini, itu bermakna pekerjaannya di dunia belum selesai lagi. Allah ada rancangan tertentu untuk jemaah di Filipi dengan perantaraan Paulus. Saudara saudari dalam Kristus di Filipi masih sangat memerlukan pelayanannya.
Oleh itu, Paulus perlu hidup lebih lama lagi di dunia ini supaya saudara saudari dalam Kristus di Filipi semakin teguh dalam iman dan semakin bersukacita dalam kepercayaan mereka kepada Kristus. Walaupun keinginan hati Paulus secara peribadi adalah untuk meninggalkan tubuh ini dan tinggal bersama dengan Kristus yang jauh lebih baik bagi dirinya, dia lebih mengutamakan kepentingan saudara saudari seiman daripada kepentingan dirinya.
Pendek kata, Paulus yakin bahawa sekiranya dia hidup lebih lama secara jasmani, maka hal ini lebih menguntungkan diri saudara saudari dalam Kristus di Filipi. Sebab dia dapat membimbing mereka untuk bertumbuh dalam iman dan membangunkan kehidupan rohani mereka demi kemuliaan Allah. Apatah lagi, mereka akan giat berkongsi Injil supaya lebih ramai orang akan mengenal Tuhan Yesus dan turut menaruh kepercayaan kepada-Nya.
Dengan keyakinan ini, maka dia tahu bahawa dia akan terus tinggal bersama saudara saudari dalam Kristus di Filipi demi kemajuan dan sukacita mereka dalam iman. Itulah sebabnya Allah membiarkan dirinya masih hidup di dunia ini supaya dia dapat menolong mereka untuk menjadi semakin matang. Selain itu, sukacita mereka dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana Paulus, apabila dia menemui mereka sekali lagi. Paulus rindu untuk bertemu dengan saudara saudari dalam Kristus di Filipi apabila dia dibebaskan daripada penjara.
Sekiranya kita mengenal rancangan Allah bagi hidup kita pada hari ini, maka kita pasti akan menggunakan setiap waktu yang ada dengan sebaik-baiknya. Walaupun syurga indah sekali dan lebih baik, tetapi hidup di dunia bermaksud bahawa kita haruslah taat setia melayani Allah dengan penuh sukacita di samping membuahkan hasil demi memuliakan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengenal jalan dan kehendak-Mu agar aku tidak akan mempersia-siakan hidupku. Tolonglah aku menggunakan kesempatan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.




Comments