top of page

Mengenal Tanda-Tanda Tibanya Kerajaan Allah

“Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.” Lukas 21:31 AVB

 

Tuhan Yesus memperingatkan murid-murid-Nya supaya sentiasa memperhatikan tanda-tanda yang terjadi di sekitar mereka. Sebab tanda-tanda yang diperlihatkan di sekeliling mereka akan memberitahu diri mereka bahawa kerajaan Allah hampir tiba dan Allah akan segera memerintah.

 

Untuk menjelaskan hal itu, Yesus telah menceritakan suatu ibarat tentang pokok ara kepada murid-murid-Nya: “Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain! Apabila pokok itu mengeluarkan tunas, kamu tahu musim panas hampir tiba.” 

 

Demikian juga apabila mereka melihat segala perkara itu terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah yang sudah bertapak dalam kalangan mereka hampir tiba. Maka semua kejadian yang terjadi secara tidak langsung akan memberitahu mereka bahawa Allah akan segera memerintah sepenuhnya.

 

Dengan itu, mereka harus sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan-Nya kerana waktu kedatangan-Nya dapat dikenal dengan penuh keyakinan dan kepastian seperti mengenal tibanya musim panas melalui dahan-dahan pokok ara yang melembut serta mula bertunas.

 

Marilah kita sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, agar kita akan sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan kembali Tuhan Yesus ke dunia ini. Ingatlah bahawa semua kata Tuhan Yesus yang tersurat dalam Alkitab pasti akan terlaksana kerana langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Nya tidak akan lenyap.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Berilah aku pengertian akan waktu kedatangan kali kedua Tuhan Yesus agar aku sentiasa bersiap sedia dan taat setia dalam pelayanan. Teguhkan imanku supaya tidak diganggu gugat oleh pelbagai kebimbangan dalam hidup seharian atau tindak-tanduk orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page