Mengerjakan Penyelamatan
- 18 hours ago
- 1 min read

Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya. Filipi 2:12-13 AVB
Rasul Paulus bersyukur bahawa saudara saudari dalam Kristus di Filipi sentiasa taat kepadanya ketika dia bersama-sama mereka. Dia pun menasihati mereka supaya mereka lebih-lebih lagi taat kepadanya pada ketika mereka berjauhan.
Atas kasih kurnia Allah, mereka sudah diselamatkan-Nya daripada dosa mereka. Oleh itu, mereka harus terus berusaha untuk mengerjakan penyelamatan mereka dengan takut dan gementar. Dengan kata lain, mereka digesa untuk menyempurnakan kesejahteraan mereka. Hendaklah mereka melakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah kerana Allah sentiasa bekerja dalam kalangan mereka untuk membuat mereka mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita mengerjakan penyelamatan kita sendiri dengan takut dan gementar? Kita bukanlah bekerja untuk memperoleh penyelamatan kita tetapi kita memohon Allah untuk bekerja dalam diri kita supaya kita berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya.
Dengan itu, ketaatan kita kepada Allah haruslah dibina atas dasar takut akan-Nya dan bukan berdasarkan orang tertentu ataupun keadaan sekitar kita. Tegasnya, kita merendahkan diri di hadapan Allah kerana kita sedar bahawa kita bukan sahaja menikmati keistimewaan tertentu tetapi kita juga ada amanah dan tanggungjawab dalam hidup rohani kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan-Mu atas hidupku. Berilah aku hati yang takut akan Engkau. Ajarlah aku untuk mentaati Engkau sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments