top of page

Mengetahui Rahsia Untuk Menghadapi Pelbagai Keadaan

  • 6 hours ago
  • 2 min read

 

Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar berasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah. Filipi 4:12 AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa dia sudah menemukan rahsia bagaimana hidup dengan berasa cukup dan berpuas hati dalam segala keadaan, baik keadaan sewaktu dia kenyang mahupun keadaan sewaktu dia lapar. Demikian juga keadaan sewaktu dia hidup mewah mulia dan juga sewaktu dia hidup miskin hina.

 

Paulus telah menanggung kesusahan yang dahsyat, seperti kelaparan, pemenjaraan, penganiayaan dan bahaya jasmani. Bagaimanapun, kekurangan sumber fizikal langsung tidak mengganggu gugat kesejahteraan emosi dan rohaninya. Paulus pernah mengecapi hidup mewah mulia tetapi dia faham bahawa kelimpahan membawa cabaran dan godaan tertentu. Kekayaan dan kejayaan tidak melekakan Paulus atau menyebabkan dia hilang fokus kepada Allah.

 

Oleh sebab Paulus telah mengalami kedua-dua kehidupan yang serba kekurangan dan kehidupan yang serba kelimpahan, dia mengetahui rahsia bagaimana untuk menghadapi semua keadaan dalam hidup ini. Dia telah belajar berasa cukup dan berpuas hati setelah menempuh banyak dugaan hidup dan dia semakin beriman kepada Allah.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Janganlah kita berasa susah hati apabila kita melalui pelbagai keadaan dalam perlumbaan hidup kita di dunia ini. Sebab Allah membiarkan kita mengalaminya agar kita akan belajar tentang rahsia untuk hidup dalam keadaan apa pun sama ada senang atau susah selain mengarahkan mata kita kepada Tuhan Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita.

 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terpuji nama-Mu dan terima kasih atas kebaikan serta kasih kurnia-Mu dalam hidupku. Teguhkanlah imanku untuk melalui semua keadaan yang wujud, agar aku sentiasa bersandar pada-Mu sahaja untuk kekuatan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page