Mengutamakan Kepentingan Yesus
- 11 hours ago
- 2 min read

Semua orang mementingkan hal sendiri, tetapi bukan hal yang kepunyaan Yesus Kristus. Filipi 2:21 AVB
Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa dia berharap akan dapat mengutus Timotius kepada mereka dengan segera. Hati Paulus akan terhibur apabila dia dapat mengetahui segala hal ehwal mereka. Paulus menambah bahawa tiada seorang bersamanya di Roma pada masa itu yang sama seperti Timotius yang bersungguh-sungguh mengambil berat tentang hal ehwal mereka.
Jelaslah bahawa Paulus membuat perbandingan antara Timotius dengan ramai orang bersamanya yang sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus. Kebanyakan orang lebih cenderung untuk mengutamakan kepentingan diri daripada melayani Tuhan Yesus. Keuntungan, kesenangan dan cita-cita diri lebih penting daripada misi berkongsi Injil.
Bagaimanapun, Timotius terkecuali kerana dia setia berkhidmat bersama Paulus dan berprihatin tentang kesejahteraan semua orang percaya. Sifat terpuji Timotius ini menyebabkan Paulus mengutusnya untuk menyampaikan segala perkara tentang Paulus kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi.
Apakah maksud tentang Timotius mementingkan hal yang kepunyaan Yesus Kristus? Ini bermaksud bahawa Timotius menitikberatkan kegiatan mengkhabarkan Injil dan usaha meneguhkan iman serta mematangkan hidup rohani orang percaya. Timotius merupakan rakan yang setiakawan dan sehati dengan Paulus dalam pelayanan mengkhabarkan Injil Allah. Dia lebih mengutamakan kepentingan Kristus dan kepentingan orang lain daripada kepentingan dirinya dalam segala yang dilakukannya.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita orang yang boleh menjadi rakan yang dipercayai oleh orang lain atau sebaliknya? Untuk menjadi seorang rakan yang boleh dipercayai, kita harus mengamalkan sikap yang tidak mementingkan diri sendiri, tetapi mengutamakan kepentingan Kristus dan kepentingan orang lain. Kita harus beralih daripada memfokuskan diri sendiri kepada Kristus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau menjadikan aku seorang hamba yang sentiasa mengutamakan kepentingan Yesus Kristus dan orang lain dalam hidupku demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments