Menjadi Rakan Sepelayanan Yang Baik
- 6 minutes ago
- 2 min read

Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu juga turut mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil. Filipi 1:7 AVB
Rasul Paulus berkata kepada jemaah di Filipi bahawa mereka sentiasa ada di dalam hatinya kerana mereka turut mendapat kasih kurnia Allah bersamanya dengan giat mengambil bahagian dalam pelayanan memberitakan Injil yang telah diamanahkan Allah.
Semasa Paulus di dalam penjara, jemaah di Filipi tidak bimbang atau takut akan bahaya yang mungkin menimpa mereka kerana terlibat secara terbuka dengan pelayanannya dan menghulurkan bantuan kepadanya. Sewaktu Paulus harus membela dan meneguhkan Injil dalam perbicaraannya pula, mereka turut serta mendoakannya dan memberikan sokongan demi membangkitkan semangatnya.
Perkongsian dan kerjasama wujud semasa Paulus menjalankan tugas mulia untuk mengkhabarkan Injil yang telah diamanahkan Allah kepadanya. Sama ada Paulus terkurung di dalam penjara ataupun sewaktu dia perlu membela dan mempertahankan Injil atau Berita Baik itu, mereka telah melakukan semuanya dengan sangat baik. Mereka menjadi teman sekerja atau sepelayanan Paulus dengan berganding bahu untuk berkongsi Berita Baik. Tidak hairanlah Paulus sentiasa mengingati mereka dalam hatinya dengan penuh sukacita.
Adakah kita ingin dan bersedia melibatkan diri dalam pelayanan pemberitaan Injil? Janganlah teragak-agak menyebarkan Injil yang merupakan kuasa daripada Alllah untuk menyelamatkan setiap manusia yang beriman. Marilah kita menjadi rakan sepelayanan yang baik selama kita sama-sama melayani di dalam kerajaan Allah demi kemuliaan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana memberi aku rakan sepelayanan yang baik dan setia untuk berkongsi Injil demi memajukan penyebarannya. Jadikanlah kami orang yang mempunyai semangat waja dan kekitaan untuk menjalankan pelayanan yang Engkau percayakan kepada kami. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments