Markus 10:51-52 (TB) Tanya Yesus kepadanya: "Apa yang kaukehendaki supaya Aku perbuat bagimu?" Jawab orang buta itu: "Rabuni, supaya aku dapat melihat!" Lalu kata Yesus kepadanya: "Pergilah, imanmu telah menyelamatkan engkau!" Pada saat itu juga melihatlah ia, lalu ia mengikuti Yesus dalam perjalanan-Nya.
Saya masih mengingat tentang usaha Kerajaan untuk membasmi kes denggi pada tahun-tahun sebelum ini. Pada waktu itu, pegawai dari Jabatan Kesihatan akan membuat pemeriksaan secara berkala dari rumah ke rumah untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes melalui takungan air. Pada waktu inilah para penghuni kawasan perumahan akan membersihkan rumah dan membuang air bertakung supaya tidak dikenakan kompaun oleh pegawai kesihatan. Asal saja ada takungan air yang terbiar, nyamuk Aedes akan menggunakan wadah tersebut untuk membiak!
Walaupun situasi ini berbaur negatif, namun secara positifnya, Tuhan telah berbicara kepada saya dengan begitu luar biasa sekali melalui kisah ini. Kalau nyamuk sahaja boleh memanfaatkan takungan air untuk meneruskan nasib penghidupannya, apa lagi Tuhan ketika Dia menemukan iman di dalam kehidupan kita. Perhatikan bahawa ini bukan soal besarnya atau kecilnya takungan air tersebut, faktanya adalah, asal saja ada takungan air, wadah pembiakan nyamuk akan terhasil. Simboliknya, asal saja ada iman dalam kita, wadah bagi pekerjaan Tuhan dalam kehidupan kita akan terhasil. Kalau saya memahami prinsip ini lebih awal, saya ingin menjadi takungan iman bagi Tuhan supaya Dia sentiasa bebas bekerja dalam kehidupan saya.
Demikianlah yang terjadi dalam kehidupan seorang pengemis buta yang bernama Bartimeus. Semasa dalam perjalanan Yesus keluar dari Yerikho, Dia telah bertemu dengan Bartimeus. Secara fizikalnya, Yesus melihat bahawa Bartimeus ini buta namun Dia tetap bertanya kepadanya, “apa yang kaukehendaki supaya Aku perbuat bagimu?” Bagi kita, soalan Yesus ini ibarat ‘soalan bonus’. Namun, kita harus tahu bahawa apa sahaja yang Yesus lakukan, pasti ada tujuannya. Sebenarnya, Yesus ingin Bartimeus menyuarakan iman atau hasrat yang masih ada di dalam dirinya. Ketika Bartimeus menyuarakan hasratnya ingin melihat, pada saat itu juga dia mendapat apa yang diinginkannya! Perhatikan bahawa Bartimeus melihat saat Yesus berkata “Pergilah, imanmu telah menyelamatkan engkau!”.
Dalam erti kata lain, selama Bartimeus hanya mampu mengemis di jalan kerana buta, jauh dalam lubuk hatinya tersimpan hasrat untuk menjadi manusia normal. Suatu hal yang lebih berharga lagi, Bartimeus tidak putus asa dan melupakan keinginannya itu. Iman di sebalik keinginannya itu ibarat air yang sedang bertakung di dalam dirinya. Ketika dia mendengar tentang Yesus dan bertemu dengan-Nya, imannya menjadi mukjizat. Pada hari ini, apakah yang engkau kehendaki supaya Yesus perbuat bagimu?
Pr Roy Dinsim
コメント