top of page

Menurut Pendapat Orang Ramai


 ... murid-murid-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?” Lukas 9:18b AVB

 

Sewaktu murid-murid Yesus datang kepada-Nya,  Yesus mengajukan satu pertanyaan kepada mereka tentang pendapat orang ramai mengenai siapa diri-Nya kerana selama ini mereka telah menyertai-Nya ke merata-rata tempat dalam pelayanan-Nya. Sepanjang perjalanan mereka bersama-sama dengan Tuhan Yesus, mereka telah mendengar banyak pendapat orang ramai tentang diri Yesus.

 

Oleh itu, Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya tentang anggapan orang ramai terhadap diri-Nya. Mereka menjawab kepada Tuhan Yesus berdasarkan  pendapat orang ramai yang didengar mereka  selama ini.  Ada yang berkata bahawa Tuhan Yesus ialah Yohanes Pembaptis,  ada juga orang yang berkata bahawa Yesus ialah Elia, dan ada pula yang  berkata bahawa Yesus  salah seorang nabi dahulu yang telah hidup semula. 

 

Semua pendapat mereka ini dipengaruhi oleh pengetahuan mereka tentang hal-hal  lalu yang diajarkan kepada mereka. Dengan itu, mereka menganggap Tuhan Yesus sebagai Yohanes Pembaptis atau Elia atau seorang daripada nabi dahulu.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Dalam perjalanan hidup kita sudah tentu kita akan mendengar pelbagai pendapat orang tentang siapa diri Yesus. Bagaimanapun, sebagai orang yang bijak, kita harus membaca Firman Tuhan dan mendoakan  hikmah agar kita tidak berkata “mengikut orang ini Yesus … atau mengikut orang itu Yesus ...”.  Kita seharusnya memberikan pengakuan berasaskan pengenalan kita secara peribadi tentang diri Yesus.

 

Oleh itu, jangan mendasarkan iman kita mengikut kata orang lain tetapi iman kita hendaklah berdasarkan Firman Tuhan tentang Tuhan Yesus. Dengan berbuat demikian, iman kita akan tetap kuat dan teguh.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang  mengucapkan terima kasih kepada-Mu atas Firman-Mu yang jelas memperlihatkan siapa diri-Mu. Ya Bapa, ajarlah aku untuk mendengar suara-Mu dan mengenal jalan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page