top of page

Menyembah Allah dalam Roh

  • 1 hour ago
  • 2 min read

 

Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Kristus Yesus, dan tidak mengharapkan hal lahiriah —  Filipi 3:3 AVB

 

Rasul Paulus mengingatkan saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa orang percaya yang sejati bersyukur dan bersukacita kerana mereka menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Kristus serta tidak bergantung  pada upacara yang lahiriah. Paulus mengisytiharkan mereka sebagai orang bersunat secara rohani dan bukannya secara jasmani. Dalam Kristus mereka telah disunatkan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuh mereka melalui persunatan Kristus.

 

Sebagaimana Paulus mencirikan para guru agama Yahudi yang palsu dengan tiga ungkapan, dia juga menerangkan persunatan yang sejati dengan tiga ungkapan. Yang pertama, orang bersunat secara rohani harus menyembah Allah dalam Roh. Dengan kata lain, mereka beribadat kepada Allah dengan bimbingan Roh Kudus. Mereka tidak lagi beribadat dengan mengikut tradisi manusia atau menjalani upacara keagamaan tertentu.

 

Kedua, mereka bermegah dalam Kristus Yesus. Sebagaimana telah tersurat, “Jika sesiapa yang bermegah, maka hendaklah dia bermegah dalam Tuhan Yesus.” Allah menunjukkan limpah kekayaan kasih kurnia-Nya dalam belas ihsan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus. Kita telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman — ini bukan daripada kita sendiri tetapi ialah kurnia Allah bukan kerana usaha amal kita supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah.

 

Ketiga, mereka tidak menaruh iman mereka pada hal-hal lahiriah. Sebab hal-hal lahiriah tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka daripada hukuman dosa. Seseorang itu diperbenar dan diterima Allah bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman kepada Kristus Yesus.

 

Itulah sebabnya Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa semua yang dianggap baik dan beruntung oleh Paulus sebelum dia mengenal Kristus, sekarang semuanya sudah dianggap sebagai sampah sarap dan kerugian setelah menemui Kristus dalam hidupnya.

 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang mengucap syukur kepada-Mu kerana mengajar aku supaya tidak bergantung pada hal lahiriah tetapi menyembah Engkau dalam Roh dan bermegah dalam Kristus Yesus. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page