Merendahkan Diri Tanpa Menghakimi
- Komuniti Digital 05
- 3 days ago
- 1 min read

“Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga.” Lukas 13:3 AVB
Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Yesus tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus (gabenor negeri Yudea) semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah. Kemudian darah mangsa dicampurkan dengan korban persembahan di Gunung Gerizim, tempat ibadat orang Samaria. Yesus pun bertanya, “Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian?”
Yesus menegaskan bahawa orang Galilea yang telah dibunuh secara kejam itu tidak lebih berdosa daripada penduduk Galilea yang lain. Pada hakikatnya, mereka harus bertaubat daripada dosa supaya tidak akan binasa sedemikian juga. Dengan kata lain, mereka tidak patut mereka-reka cerita yang buruk daripada kejadian pembunuhan itu atau menghina dan menghakimi mangsa yang malang daripada kejadian tragik, seolah-olah golongan yang dilanda musibah merupakan orang yang sangat berdosa. Pandangan sebegitu ternyata meleset sama sekali kerana setiap orang berdosa dan perlu bertaubat.
Oleh itu, kita tidak boleh menghakimi orang lain apabila melihat mereka ditimpa penderitaan atau malapetaka. Betapa pentingnya kita sentiasa merendahkan diri kita di hadapan Allah dengan bertaubat daripada dosa kita supaya tidak binasa.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa merendahkan diri di hadapan-Mu, melihat orang lain berharga dan tidak menghakimi mereka berdasarkan apa yang dilalui mereka dalam hidup tetapi memeriksa diri sendiri di hadapan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments