Lukas 2:12-14 (TB) Dan inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang bayi dibungkus dengan lampin dan terbaring di dalam palungan."
Dan tiba-tiba tampaklah bersama-sama dengan malaikat itu sejumlah besar bala tentara sorga yang memuji Allah, katanya:
"Kemuliaan bagi Allah di tempat yang mahatinggi dan damai sejahtera di bumi di antara manusia yang berkenan kepada-Nya."
Dunia hanya mampu memberikan tanda tentang Yesus tetapi tidak dapat memberikan identiti kepada-Nya. Siapa Yesus Kristus itu hanya dapat diterangkan oleh Syurga kerana Yesus tidak berasal dari dunia ini. Itulah sebabnya Syurga lebih tahu menilai siapa Yesus Kristus berbanding dunia.
Buktinya adalah semasa Yesus lahir ke dunia, suasana sambutan di dunia dan syurga itu sangat berbeza. Seluruh dunia tidak bersorak menyambut kelahiran Yesus Kristus. Hanya golongan tertentu sahaja yang mengetahui kelahiran-Nya. Itupun perlu diberi petunjuk atau pernyataan daripada Allah seperti para gembala yang dilawat oleh malaikat. Maksudnya, dunia kelihatannya sangat sunyi di tengah kekelaman malam ketika Yesus lahir ke dunia.
Keadaan kelahiran-Nya pun sangat menyedihkan dan memalukan kerana Dia lahir di palungan iaitu kotak makanan binatang. Siapakah ibu bapa yang mahukan anaknya lahir di tempat yang kotor? Siapakah ibu bapa yang merancang lebih awal supaya anaknya lahir di atas palungan? Tidak ada ibu bapa yang normal melakukan hal sedemikian. Hal ini menunjukkan bahawa proses kelahiran Yesus Kristus ke dunia ini penuh dengan detik-detik cemas sehingga hal-hal yang tidak terancang secara manusiawi berlaku.
Tetapi tidak demikian keadaannya di Syurga. Melalui penglihatan yang dinyatakan kepada para gembala, sejumlah besar bala tentara sorga memuji Allah, perkataan nyanyian mereka terdengar dan berbunyi; "kemuliaan bagi Allah di tempat yang mahatinggi dan damai sejahtera di bumi di antara manusia yang berkenan kepada-Nya". Syurga bersorak gegak gempita dan penuh kemuliaan semasa kelahiran Yesus Kristus. Pendek kata, suasana sambutan kelahiran Kristus di dunia dan di Syurga begitu berlawanan sekali. Apa maksud semuanya ini bagi kita pada hari ini?
Mari kita fikirkan, kita di pihak dunia atau Syurga? Sudah tentu Syurga bukan? Yesus Kristus datang ke dunia dengan cara yang begitu tidak teratur sebagaimana yang sepatutnya bagi seorang bayi normal pada waktu itu semata-mata untuk menjadi tanda kepada para gembala supaya dapat mengenali-Nya sebagai Juruselamat dan Mesias yang dijanjikan itu. Allah memakai keadaan yang rendah dan hina untuk satu tujuan yang tinggi dan mulia sehingga akhirnya damai sejahtera dan perkenan Allah terhadap umat manusia terbuka luas! Kemuliaan bagi Allah di tempat yang mahatinggi!
Oleh itu, sempena mengingati kelahiran Yesus Kristus yang bakal menjelang ini, marilah kita memberikan penghormatan tertinggi dan yang selayaknya bagi Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus. Janganlah biarkan penghormatan kita sunyi dan kelam seperti dunia ini tetapi marilah kita menjadi seperti bala tentera Syurga yang melaung-laungkan kemuliaan bagi Allah di tempat yang mahatinggi. Layaklah nama-Nya untuk dipuji! Haleluyah amen!
Pr Roy Dinsim
Komentarze